Nilai prestasi dengan adil, kejayaan Kerajaan MADANI jangan dinafikan - Hassan Karim
- Sidiqin Omar

- Jun 14
- 2 min read

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar) mengingatkan rakyat Johor supaya menilai prestasi Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan secara adil dan seimbang dengan tidak hanya menumpukan kepada kelemahan, sebaliknya turut mengiktiraf pencapaian yang memberi manfaat kepada negara dan rakyat.
Beliau berkata, setiap kerajaan mempunyai kekurangan yang boleh ditegur dan diperbaiki, namun kejayaan yang dicapai juga wajar diberikan pengiktirafan.
Menurutnya, pendekatan yang adil penting bagi memastikan penilaian terhadap pentadbiran negara dibuat berdasarkan fakta dan realiti semasa.
"Kita boleh carilah kesalahan kerajaan. Saya sendiri boleh menyenaraikan kelemahan-kelemahan kerajaan dan Perdana Menteri.
"Tetapi kerja kita mestilah adil dan seimbang. Kita juga perlu melihat perkara-perkara yang baik dan membandingkannya dengan keadaan di tempat lain," katanya.
Hassan berkata, antara petunjuk positif yang boleh dilihat ialah kedudukan ekonomi negara yang semakin kukuh, termasuk prestasi nilai ringgit yang berada antara mata wang yang lebih stabil dan kuat di rantau Asia.
Beliau menjelaskan, pengukuhan nilai ringgit memberi manfaat kepada negara terutama dalam urusan perdagangan dan pembelian barangan import apabila kos dapat dikawal dengan lebih baik.
Selain itu, beliau turut menyentuh kestabilan bekalan keperluan asas yang masih dinikmati rakyat Malaysia berbanding beberapa negara lain yang berdepan masalah bekalan dan kos sara hidup yang lebih serius.
"Kalau ringgit Malaysia kuat, itu sesuatu yang baik. Apabila harga minyak dunia meningkat sekalipun, nilai mata wang kita membantu negara membeli keperluan pada harga yang lebih mampu ditanggung.
"Begitu juga keperluan asas seperti gas memasak. Hari ini rakyat masih boleh mendapat bekalan gas memasak dengan baik. Kita perlu bersyukur dan melihat perkara ini secara objektif," katanya.
Dalam pada itu, Hassan berkata kemajuan yang dicapai Johor sejak tiga tahun kebelakangan ini juga membuktikan pentingnya kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, Johor berjaya menarik pelaburan asing dan domestik yang besar hasil kerjasama kedua-dua pihak dalam merancang pembangunan ekonomi negeri.
"Johor telah berkembang dengan baik dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini hasil kerjasama antara Kerajaan Pusat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Negeri.
"Tahun lalu sahaja, Johor merekodkan kira-kira RM110 bilion pelaburan asing dan domestik, selain menyaksikan sebanyak 348 projek baharu dilaksanakan pada tahun 2025," katanya.
Beliau menegaskan kejayaan tersebut tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha bersama yang berjaya mewujudkan keyakinan pelabur serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi kepada rakyat Johor.
Sehubungan itu, Hassan menggesa rakyat supaya membuat penilaian yang matang terhadap prestasi Kerajaan Persekutuan dengan mengambil kira kedua-dua aspek, iaitu kelemahan yang perlu diperbaiki dan kejayaan yang wajar dihargai.




online photo booth experiences continue to get more creative every year
The combination of fun layouts and instant photos makes them enjoyable to use.
👍