top of page

KEADILAN Kuala Nerus hulur kerusi roda bantu pesakit diabetis kronik

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
1 min read
Pimpinan dan AJIK KEADILAN Kuala Nerus menghulurkan bantuan kepada seorang pesakit diabetis kronik
Pimpinan dan AJIK KEADILAN Kuala Nerus menghulurkan bantuan kepada seorang pesakit diabetis kronik

Keprihatinan terhadap keluarga yang berdepan ujian kesihatan mendorong pimpinan Cabang KEADILAN Kuala Nerus, Terengganu mengadakan Program Ziarah Kasih di kediaman Kak Nurul di Taman Semarak, Bukit Tunggal pada Khamis lalu.


Dalam kunjungan kira-kira jam 5 petang itu, keluarga berkenaan menerima sumbangan berupa sebuah kerusi roda, kotak makanan dan wang tunai bagi membantu meringankan beban mereka, khususnya dalam menguruskan keperluan harian suami Kak Nurul yang menghidap penyakit kencing manis kronik sehingga terpaksa menjalani pemotongan kedua-dua belah kaki.


Menurut kenyataan Penerangan KEADILAN Cabang Kuala Nerus, kunjungan itu diketuai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Terengganu merangkap Ketua Cabang KEADILAN Kuala Nerus, Dr Zainuddin Awang @ Omar, bersama Ketua Penerangan KEADILAN Kuala Nerus, Saado Md Nor serta barisan Ahli Jawatankuasa kepimpinan cabang berkenaan.


"Sumbangan tersebut merupakan tanda keprihatinan terhadap kebajikan keluarga berkenaan, selain diharapkan dapat memberikan sedikit kelegaan dan sokongan moral kepada mereka dalam menempuh ujian kehidupan," kata kenyataan tersebut.


Dalam pada itu, Dr Zainuddin turut menzahirkan harapan agar Kak Nurul dan seluruh keluarganya terus tabah, diberikan kekuatan serta dipermudahkan segala urusan.


Beliau turut memaklumkan bahawa kunjungan susulan bersama agensi berkaitan akan diusahakan bagi meneliti keperluan keluarga itu dan mengenal pasti bentuk bantuan yang bersesuaian.


Usaha berkenaan mencerminkan komitmen berterusan KEADILAN Cabang Kuala Nerus untuk mendekati masyarakat serta memberikan perhatian kepada golongan yang memerlukan, khususnya keluarga yang berdepan cabaran kesihatan dan kehidupan.


Kenyataan itu turut mendoakan agar Kak Nurul, suami dan seluruh keluarga diberikan ketabahan, kesabaran serta kekuatan dalam menghadapi ujian berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page