Dua kontroversi N Sembilan 16 Okt: Akauntabiliti Menteri Besar dipersoal - KEADILAN

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim digesa memberikan penjelasan berhubung penangguhan sida

ng Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam serta kontroversi membabitkan hubungannya dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Negeri Sembilan, Mohd Shariman Che Deris (gambar) berkata, dua peristiwa pada 16 Oktober lalu menimbulkan persoalan serius terhadap kewibawaan, ketelusan dan kredibiliti kepimpinan Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, rakyat semakin mempersoalkan kestabilan yang dijanjikan Barisan Nasional (BN), khususnya Umno serta kemampuan Kerajaan Negeri menyelesaikan isu berkaitan adat dan pentadbiran.
"Persoalan paling penting adalah rakyat sudah mula jemu dengan permainan politik Menteri Besar Negeri Sembilan dan ADUN mereka tanpa benar-benar menunjukkan dengan sejelasnya urus tadbir kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas penangguhan sidang DUN yang dijadualkan berlangsung pada 16 Oktober, Shariman berkata tindakan itu mengecewakan kerana didakwa dibuat tanpa pemakluman sewajarnya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.
Katanya, seramai 11 ADUN Pakatan Harapan (PH), diketuai Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, J Arul Kumar, telah bersedia untuk membahaskan 10 persoalan dalam sidang berkenaan.
Beliau menegaskan DUN bukan milik mana-mana individu atau parti politik, sebaliknya institusi demokrasi yang membawa mandat rakyat.
Menurutnya, kegagalan mengadakan sidang DUN tanpa notis awal bukan sahaja menjejaskan masa wakil rakyat, malah menyentuh hak rakyat untuk diwakili melalui proses perbahasan dan semak imbang.
Rakaman tular Tuanku Muhriz selepas solat Jumaat
Dalam perkembangan berkaitan, Shariman turut membangkitkan rakaman tular yang memaparkan interaksi Tuanku Muhriz dengan Menteri Besar selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Beting, Kuala Pilah, pada hari sama.
Beliau berkata, perkara itu perlu ditangani secara bertanggungjawab memandangkan institusi Yang Dipertuan Besar merupakan tonggak penting dalam sistem pemerintahan berperlembagaan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Shariman turut menggesa Menteri Besar menjelaskan isu berkaitan proklamasi bertarikh 19 April yang menurut kenyataan itu ditandatangani pada 3 Ogos 2026, sehari selepas beliau mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Muhriz.
Beliau turut membangkitkan tindakan Menteri Besar menolak keputusan Tuanku Muhriz menarik perkenan terhadap 10 anggota Exco atas alasan keputusan berkenaan tidak sah, selain dakwaan bahawa beliau mengutus surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang mempersoalkan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.
Menurut Shariman, perkara itu memerlukan penjelasan sewajarnya bagi mengelakkan kekeliruan berhubung hubungan antara kepimpinan eksekutif negeri dengan institusi diraja.
"Tindakan-tindakan yang dizahirkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan ini menampakkan kegagalan beliau dalam berurusan dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Ini adalah komunikasi pentadbiran yang sangat lemah," katanya.
Beliau mendakwa keadaan itu berpotensi memberi kesan kepada rakyat apabila urusan pentadbiran yang memerlukan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tertangguh.
"Kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan. Kepimpinan menuntut kebijaksanaan membuat keputusan, ketelusan dalam tindakan, penghormatan terhadap institusi dan kesediaan menjawab persoalan yang dibangkitkan," katanya.
Beliau menegaskan kritikan itu bukan bertujuan merendahkan mana-mana institusi, sebaliknya menuntut setiap pihak yang memegang amanah melaksanakan tanggungjawab dengan integriti serta memelihara keyakinan rakyat.
"Negeri Sembilan memerlukan kepimpinan yang mampu menyelesaikan masalah, bukan membiarkan persoalan berlarutan.
"Rakyat berhak mendapat pentadbiran yang telus, matang dan bertanggungjawab. Apabila amanah dipersoalkan, penjelasan mesti diberikan. Apabila keyakinan rakyat terjejas, tindakan memulihkannya mesti bermula dengan kejujuran dan akauntabiliti," katanya lagi.




Comments