top of page

Jerebu rentas sempadan: Rundingan dengan Indonesia perlu ada hasil nyata

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
2 min read

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan memastikan rundingan diplomatik dengan Indonesia berhubung isu jerebu rentas sempadan diterjemahkan kepada tindakan konkrit yang boleh dinilai serta dilaporkan secara berkala kepada rakyat.


Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (gambar) berkata komitmen yang diberikan pada peringkat kepimpinan kedua-dua negara perlu disusuli pelaksanaan berkesan bagi menangani masalah pencemaran udara yang menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.


ABIM mengambil maklum penegasan Perdana Menteri bahawa kerajaan telah berusaha sedaya mungkin untuk berunding dengan Indonesia bagi menangani isu berkenaan.


Bagaimanapun, Ahmad Fahmi berkata, kerajaan perlu memperjelas status penyelarasan bantuan pemadaman, kekangan operasi serta jangka masa tindakan susulan yang dipersetujui.


"Kerjasama dua hala dan mekanisme ASEAN perlu dimanfaatkan bagi mempercepat bantuan mengikut keperluan di lapangan. Kesihatan rakyat mesti menjadi keutamaan dalam setiap keputusan," katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata, hubungan persahabatan Malaysia-Indonesia turut membawa tanggungjawab untuk saling melindungi daripada kemudaratan, termasuk membantu masyarakat Indonesia yang turut terjejas akibat jerebu.


Pada masa sama, ABIM menegaskan pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa perlu mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat yang terbukti melakukan pembakaran terbuka atau cuai sehingga melanggar undang-undang, termasuk syarikat yang mempunyai kepentingan Malaysia.


Menurutnya, usaha memadam kebakaran perlu disusuli pemulihan kawasan terjejas dan langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.


"Pemadaman perlu disusuli pemulihan kawasan terjejas dan pencegahan kebakaran berulang. Kos pencemaran tidak wajar terus ditanggung masyarakat sementara pihak yang bertanggungjawab terlepas daripada tindakan," katanya.


Ahmad Fahmi turut menegaskan bahawa perlindungan rakyat di dalam negara perlu dilaksanakan seiring usaha diplomatik bagi memastikan kesan jerebu terhadap kesihatan awam dapat dikurangkan.


Katanya, maklumat mengenai kualiti udara dan panduan tindakan perlu mudah dicapai serta disampaikan dengan jelas kepada masyarakat.


Majikan juga digesa melaraskan waktu dan tugasan pekerja yang bekerja di luar serta menyediakan perlindungan bersesuaian, manakala institusi pendidikan perlu memastikan keselamatan pelajar dan kesinambungan pembelajaran apabila kehadiran terjejas.


Beliau berkata, perhatian khusus perlu diberikan kepada golongan berisiko tinggi, termasuk kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan.


Menurutnya, keberkesanan usaha menangani jerebu rentas sempadan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah rundingan yang diadakan semata-mata, sebaliknya melalui pengurangan pendedahan rakyat kepada pencemaran, tindakan terhadap punca kebakaran dan pencegahan kejadian berulang.


"Ukuran kejayaan usaha ini ialah berkurangnya pendedahan rakyat kepada pencemaran, tindakan terhadap punca kebakaran dan pengurangan risiko kejadian berulang.


"Udara bersih ialah hak bersama. Mempertahankannya menuntut kerjasama yang berkesan dan pertanggungjawaban yang tegas," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page