Nilai Pelaburan Selangor berpotensi lepas sasaran RM80 bilion


Prestasi pelaburan di negeri Selangor menunjukkan perkembangan positif dengan nilai mencecah kira-kira RM70 bilion setakat pertengahan tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, nilai pelaburan tahun ini berpotensi mencecah RM100 bilion melepasi sasaran RM80 bilion yang ditetapkan.
"Kita letak sasaran RM80 bilion sebagaimana pencapaian 2025 tetapi sehingga pertengahan 2026 kita sudah capai RM70 bilion. Itu adalah yang terbesar di Malaysia.
"Kita sangat percaya akan dapat melepasi sasaran RM80 bilion malahan kalau trend sangat bagus, kita yakin boleh mencipta rekod lebih RM100 bilion sebagaimana yang kita capai pada 2024," katanya dipetik laporan media.
Amirudin berkata begitu pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Milikan Kosong Fasa 1 dan Pelancaran Fasa 2 Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP) dihadiri EXCO Pelaburan Ng Sze Han di Mukim Tanjung Dua Belas, di Kuala Langat pada Selasa.
Sementara itu menurut beliau, prestasi pelaburan negeri turut dipengaruhi situasi semasa, termasuk cabaran berkaitan rantaian bekalan, risiko bencana serta krisis geopolitik dunia.
Justeru Kerajaan Negeri jelasnya akan mempergiat misi perdagangan dan pelaburan ke luar negara bagi menarik lebih banyak pelaburan sekali gus membuka peluang pasaran baharu kepada syarikat tempatan.
"Dunia berubah dengan sangat pantas. Harapnya keadaan bertambah baik dan kita boleh teruskan misi pelaburan ke luar negara sebab sebahagian besar daripada pelaburan itu bukan sahaja mereka datang ke sini, tetapi kita juga ke sana," tambahnya.
April lalu, Invest Selangor Berhad mengumumkan sasaran nilai pelaburan sebanyak RM80 bilion pada tahun ini, meningkat daripada sasaran RM65 bilion pada 2025.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hasan Azhari Idris dilapor berkata Selangor yakin mampu mencapai sasaran itu walaupun berdepan semakan semula belanjawan susulan ketidaktentuan global akibat konflik Asia Barat.




Comments