Negara Arab perlu tegas lawan kekejaman Israel terhadap Palestin, Iran
- Akmal Manaf

- 9 minutes ago
- 2 min read

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu mempersoalkan pendirian negara-negara Islam khususnya negara Arab, yang disifatkannya terlalu berhati-hati bertindak ketika rakyat Palestin terus dibunuh dan diusir sedangkan sokongan terhadap Israel masih diteruskan dalam bentuk hubungan diplomatik dan perdagangan.
Beliau berkata, penderitaan rakyat Palestin tidak seharusnya sekadar menjadi bahan ucapan dalam persidangan atau kecaman di peringkat antarabangsa, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan yang lebih tegas oleh negara-negara Islam.
Katanya masyarakat harus berani bertanya apakah nilai persaudaraan umat jika penderitaan Palestin hanya menjadi bahan ucapan dalam persidangan tetapi tidak diterjemahkan kepada tindakan.
"Dalam masa sama, kita juga tidak boleh menutup mata terhadap tekanan dan serangan yang dihadapi Iran.
"Kita mungkin mempunyai perbezaan pandangan mengenai politik dalaman Iran. Tetapi soal mempertahankan kedaulatan sebuah negara daripada serangan dan tekanan kuasa besar adalah persoalan yang berbeza.
"Iran tidak sepatutnya dibiarkan bersendirian menghadapi tekanan Amerika Syarikat dan Israel. Lebih-lebih lagi apabila negara-negara lain di rantau itu mempunyai tanggungjawab untuk menghalang Timur Tengah daripada terus menjadi gelanggang peperangan kuasa besar," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Mohamad menegaskan beliau tidak mahu melihat peperangan yang lebih besar tercetus, sebaliknya mahu keamanan terus diutamakan.
"Sebab itu kita menolak serangan terhadap rakyat awam, menolak pencerobohan terhadap negara berdaulat dan menolak politik kekuatan yang menentukan siapa boleh menyerang dan siapa hanya diminta berdiam diri.
"Kalau masyarakat yang berada ribuan kilometer daripada Gaza boleh turun ke jalan mempertahankan Palestin, mengapa sebahagian pemimpin dunia Arab yang berada begitu hampir masih terlalu berhati-hati untuk bertindak?
"Sampai bila dunia Islam mahu melihat Gaza dihancurkan sedikit demi sedikit?
"Sampai bila kita mahu melihat rakyat Palestin kehilangan rumah, tanah dan keluarga mereka?
"Sampai bila Iran harus dibiarkan menghadapi tekanan Amerika Syarikat dan Israel tanpa keberanian politik yang lebih jelas daripada negara-negara Islam?," tanyanya lagi sambil menyatakan solidariti terhadap Palestin.




Comments