Naratif politik kebencian faktor PH tewas tiga PRN - Dr Dzulkefly


Politik permusuhan dan kebencian oleh Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) antara faktor menyumbang kepada kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam tiga Pilihan Raya Negeri (PRN).
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata antara perkara yang diperhatikannya ialah naratif politik berbaur permusuhan digunakan Presiden Pas, Hj Hadi Awang menjelang penghujung kempen pilihanraya.
"Saya perhatikan pada akhir-akhir kempen, kita dengar bagaimana Presiden Pas membawa sebutan yang sangat tidak wajar untuk sebuah negara berbilang kaum dan agama kerana itu adalah percanggahan langsung dengan dengan anjuran Islam," katanya dipetik laporan media.
Dr Dzulkefly sebelumnya hadir ke perasmian Konvensyen Wanita Muda Parti Amanah Negara (Warda) Nasional di Klana Resort, Seremban pada Ahad.
Beliau bagaimanapun mengakui kekalah PH pada tiga PRN itu turut dipengaruhi pelbagai faktor lain yang perlu diberi perhatian oleh gabungan tersebut.
Hadi Awang baru-baru ini dikritik hebat susulan kenyataan yang mendakwa 'sejahat-jahat orang Islam memerintah negara tidak sezalim orang bukan Islam'
Kenyataan tersebut dianggap melampau dan tidak bertanggungjawab kerana berpotensi mencetuskan ketegangan serta mengancam keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Sementara itu Dr Dzulkefly menegaskan, pendekatan politik berasaskan kebencian dan sentimen kaum serta agama boleh meracuni pemikiran rakyat, sekali gus menjejaskan prinsip keadilan yang dianjurkan Islam.
Usaha penyatuan Melayu dan Islam tegasnyaperlu berlandaskan ketakwaan serta keadilan dan bukannya ketaksuban terhadap kelompok tertentu.
"Ini merupakan satu perkara yang sangat jahat dari sudut persaingan politik ya. Awak boleh buat apa sahaja tapi jangan garis memasuki garis permusuhan, perseteruan dan kebencian itu, sangat ditentang, tidak dianjurkan oleh Islam," katanya.




Comments