top of page

Pejabat ADB di Malaysia bakal pacu pelaburan, pembangunan

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
23 minutes ago
2 min read
DS Anwar mengadakan pertemuan dengan Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), Masato Kanda di Manila, Filipina, bagi membincangkan peluang kerjasama pembangunan dan pelaburan
DS Anwar mengadakan pertemuan dengan Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), Masato Kanda di Manila, Filipina, bagi membincangkan peluang kerjasama pembangunan dan pelaburan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), Masato Kanda bagi membincangkan perkembangan ekonomi serantau serta peluang memperluas kerjasama pembangunan dan pelaburan antara Malaysia dengan institusi kewangan antarabangsa itu.


Pertemuan yang berlangsung di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 itu turut menyentuh kemajuan usaha penubuhan pejabat ADB di Malaysia, termasuk proses memuktamadkan Host Country Agreement atau Perjanjian Negara Tuan Rumah.


Anwar berkata, kehadiran pejabat ADB di Malaysia dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam pembangunan infrastruktur, peralihan tenaga dan pembiayaan sektor swasta.


Dalam pertemuan itu, Anwar turut menggalakkan ADB meneroka peluang kerjasama baharu susulan pembiayaan yang telah disalurkan dalam sektor kitar semula serta komitmen pelaburan bagi pembangunan pusat data.


Penubuhan pejabat ADB di Malaysia merupakan perkembangan penting dalam hubungan kerjasama kedua-dua pihak.


ADB sebelum ini mengumumkan rancangan membuka pejabat baharu di Malaysia bagi memperkukuh kerjasama serantau, termasuk menyokong pembangunan ASEAN Power Grid dan menggalakkan pelaburan sektor swasta.


Pejabat itu dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2027, dengan tumpuan kepada penyelarasan inisiatif serantau, hubungan strategik serta pembangunan peluang pelaburan bersama kerajaan dan sektor swasta.


Malaysia juga mempunyai kedudukan strategik dalam kerjasama infrastruktur ASEAN, termasuk penglibatan dalam projek kesalinghubungan tenaga serantau. Kehadiran ADB dijangka membantu memperluas akses kepada pembiayaan dan kepakaran bagi projek pembangunan berimpak tinggi.


ADB merupakan institusi kewangan pembangunan pelbagai hala yang menyokong pertumbuhan ekonomi mampan, inklusif dan berdaya tahan di rantau Asia Pasifik.


Malaysia pula merupakan antara anggota pengasas dan pemegang saham ADB sejak penubuhannya pada 1966.


Anwar berkata Malaysia menghargai peranan ADB sebagai rakan pembangunan penting dan berharap hubungan itu terus diperkukuh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan serta membawa manfaat nyata kepada rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page