top of page

Tindakan mitigasi tiga hotspot banjir di Selangor dipercepat

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
50 minutes ago
1 min read

Kerajaan Selangor akan segera melaksana langkah mitigasi di tiga kawasan yang dikenal pasti kritikal bagi mengurangkan risiko banjir berulang.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata tiga kawasan terbabit sudah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi terutama pada peringkat awal Monsun Timur Laut (MTL).


"Sudah pasti dua tiga tempat utama adalah Kampung Melayu Subang, Kubu Gajah dan juga Puncak Alam.


"Ini merupakan usaha berterusan dan kita akan tengok balik kawasan-kawasan tersebut," katanya dipetik selepas menyempurnakan Karnival Pendidikan Digital Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kebangsaan 2026 di Klang pada Ahad.


Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027, Amirudin berkata sebanyak 56 projek mitigasi dan tebatan banjir dikenal pasti untuk dilaksanakan tahun hadapan bagi mengurangkan risiko banjir di negeri ini.


Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tegasnya perlu mengutamakan projek yang mampu menyelesaikan masalah banjir, merangkumi pembinaan pembetung dan saliran di bawah seliaan PBT hingga jambatan serta kerja tebatan sungai.


Sementara itu menurut Amirudin, jumlah hotspot banjir di Selangor juga berjaya dikurangkan dari lebih 100 sekitar 2016 hingga 2017 kepada sekitar 56 ketika ini dengan kawasan yang sebelum ini sering terjejas seperti Dengkil dan Kuala Langat menunjukkan keadaan lebih baik hasil usaha mitigasi yang dilaksanakan.


"Yang selalu saya sebut adalah Kampung Lombong atau Kampung Bukit Lanchong atau Seri Muda dan juga beberapa kawasan lain.


"Tapi kita baru di awal monsun, mungkin kita kena tengok perkembangannya dari semasa ke semasa," katanya.


Bercakap kepada pemberita, beliau turut menegaskan, usaha mitigasi turut mengambil kira kawasan yang berdepan masalah banjir dalam jangka panjang seperti Parit Mahang di Kuala Selangor.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page