top of page

Pelaburan berkualiti mesti seiring tadbir urus baik, banteras rasuah - PM

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
11 minutes ago
2 min read
DS Anwar berucap pada majlis makan malam anjuran Kedutaan Malaysia di Manila, Filipina, sempena lawatan kerja beliau menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49.
DS Anwar berucap pada majlis makan malam anjuran Kedutaan Malaysia di Manila, Filipina, sempena lawatan kerja beliau menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49.

Malaysia akan terus mengamalkan dasar luar yang seimbang dan berpandukan kepentingan negara, selain memperkukuh kesatuan serta peranan ASEAN dalam menghadapi landskap geopolitik antarabangsa yang semakin mencabar.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha menarik pelaburan asing dan membawa masuk projek berkualiti perlu bergerak seiring dengan tadbir urus yang baik, integriti serta ketegasan membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam anjuran Kedutaan Malaysia di Manila, Filipina, sempena lawatan kerja beliau bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan.


Menurut Anwar, Malaysia bukan sahaja mahu dikenali sebagai ekonomi yang dinamik dan berdaya saing, tetapi juga sebuah negara yang menjunjung tinggi prinsip integriti, keadilan dan amanah.


Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan bahawa hubungan ekonomi Malaysia dengan sesebuah negara tidak seharusnya mengehadkan kebebasan negara untuk menjalin hubungan dengan negara lain.


Beliau memberikan contoh hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat yang tidak menghalang negara daripada terus bekerjasama dengan China dan rakan antarabangsa lain.


Katanya, pelaburan asing perlu dilaksanakan dalam kerangka dasar negara serta menghormati kepentingan dan kedaulatan Malaysia.


Pendekatan itu selari dengan prinsip Kepusatan ASEAN (ASEAN Centrality) yang menekankan kepentingan negara-negara serantau mengekalkan hubungan seimbang dan konstruktif dengan semua kuasa besar.


Dalam aspek ekonomi domestik, Perdana Menteri menegaskan bahawa kejayaan menarik pelaburan dan memperoleh projek pembangunan tidak membawa makna sekiranya disertai amalan rasuah serta penyalahgunaan kuasa.


Beliau berkata tadbir urus baik merupakan keutamaan bagi memastikan hasil pembangunan dan kemakmuran negara dapat dinikmati rakyat, bukannya diseleweng untuk kepentingan pihak tertentu.


Anwar turut mengulangi komitmen kerajaan untuk meneruskan dasar membanteras rasuah serta memastikan Malaysia dikenali bukan sahaja kerana prestasi ekonominya, tetapi juga ketegasan mempertahankan integriti dan menolak penyalahgunaan kuasa.


Turut hadir pada majlis berkenaan ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul serta Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.


Anwar menegaskan Malaysia akan terus memperkukuh hubungan antarabangsa berasaskan kepentingan nasional, sambil memastikan pembangunan ekonomi negara dipandu oleh prinsip integriti, keadilan dan amanah.



Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page