Misi ke Gaza bawa mesej Palestin berhak merdeka - Amirudin
- Suara Keadilan

- 18 hours ago
- 1 min read

Penyertaan Menteri Besar Selangor bersama delegasi antarabangsa ke Gaza bukan bermotifkan politik atau agama, sebaliknya berteraskan misi kemanusiaan.
Datuk Seri Amirudin Shari menerusi satu hantaran di Facebook berkata, delegasi kemanusiaan terdiri daripada pelbagai negara, bangsa dan agama itu bersatu membawa satu mesej jelas iaitu Palestin berhak merdeka.
"Kami akan bersama lebih 1000 peserta seluruh dunia dan 100 lebih kapal dalam misi kemanusiaan awam terbesar Global Sumud Flotilla.
"Misi ini bukan membawa mesej politik mahupun keagamaan. Misi ini adalah misi kemanusiaan
"Berbekalkan tekad dan keazaman untuk menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa keganasan dan kezaliman di Palestin harus dihentikan," katanya.
Menerusi hantaran sama, Naib Presiden KEADILAN itu turut memohon doa seluruh rakyat agar semua peserta misi berkenaan berada dalam keadaan selamat dan dilindungi.
"Sebanyak 70,000 nyawa telah terkorban, bekalan makanan, perubatan dan air bersih dihalang, apakah kita harus terus berdiam diri? Genosid di Gaza harus dihentikan.
"Doakan kami, doakan agar semua peserta misi ini dilindungi, dirahmati dan dipelihara," tambahnya.
Malaysia bakal mengetuai pelaksanaan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) dengan menggerakkan lima fasa strategik bagi membantu rakyat Palestin khususnya di Gaza yang terjejas akibat serangan rejim Zionis.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Amirudin mewakili bagi mengetuai misi GSF 2.0 dan penghantaran 300 tan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza menerusi Mesir.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin memaklumkan misi kini memasuki fasa kritikal menjelang pelayaran misi GSF 2.0 dari Barcelona menuju perairan Gaza.
"Insya-Allah saya akan bersama peserta dari Malaysia dan seluruh dunia membawa mesej bahawa rakyat dunia menolak keganasan dan kezaliman terhadap penduduk Palestin. Doakan kami semua," katanya.




Comments