Mengapa hal kemajuan Johor boleh kerjasama, politik bertentangan?
- Redzuan Shamsudin

- Jun 17
- 2 min read

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar) mengkritik amalan “politik dua wajah” yang didakwa tidak membantu membina keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan Johor.
Beliau berkata demikian susulan pertemuan bersama antara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai, semalam.
Menurut Mahfuz, kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan sememangnya wajar dan tidak dipertikaikan, namun percanggahan naratif politik sebelum ini yang mana pentadbiran Onn Hafiz menyudutkan peranan Kerajaan Persekutuan, namun pada masa sama membesar besarkan peranan Kerajaan Negeri membantu rakyat Johor menimbulkan persoalan.
"Jika selama ini DAP dan pimpinan Pakatan Harapan sering dijadikan sasaran politik, mengapa hari ini tiada masalah untuk berkongsi pentas dan melaksanakan projek bersama?" katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mempersoalkan sama ada naratif terdahulu hanyalah retorik politik untuk meraih sokongan, atau menunjukkan pendirian yang tidak konsisten dalam kalangan pemimpin UMNO-BN di Johor.
"Tidak wajar apabila DAP digambarkan sebagai ancaman ketika musim pilihanraya, tetapi apabila melibatkan pembangunan negeri, pemimpin yang sama tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama," katanya.
Menurut beliau, pendekatan sedemikian hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan pemimpin.
Mahfuz turut menegaskan bahawa Johor sebenarnya mendapat manfaat daripada kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, termasuk pelaksanaan pelbagai projek strategik.
"Adalah tidak adil apabila kejayaan mahu dikongsi, tetapi pada masa yang sama sentimen kebencian terhadap rakan dalam Kerajaan Perpaduan terus dimainkan demi kepentingan politik sempit," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin agar bersikap jujur dan konsisten dalam pendirian politik mereka.
"Jika semalam DAP dijadikan ancaman, mengapa hari ini boleh menjadi rakan pembangunan? Rakyat berhak mendapat jawapan yang jujur."
Tambah beliau, rakyat Johor kini mahukan politik yang matang dan berteraskan kejujuran, bukan pendekatan bermuka-muka yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap kepimpinan.
"Jangan jadikan sentimen kebencian sebagai modal politik ketika pilihanraya, tetapi akhirnya bergantung kepada pihak yang sama apabila berada dalam kerajaan.
"Politik yang matang ialah politik yang berteraskan kejujuran, bukan politik dua wajah," katanya lagi.




Comments