Malaysia tidak boleh terpisah dari politik global - Nurul Izzah


Malaysia tidak boleh mengasingkan diri daripada perkembangan politik global, sebaliknya rakyat perlu melihat peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI dalam memperjuangkan nasib negara-negara yang berdepan penindasan serta tekanan kuasa besar.
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar (gambar) berkata, Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk bersuara dalam isu antarabangsa kerana pergolakan di negara lain turut memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, pertemuannya dengan duta Iran dan Cuba baru-baru ini memberi gambaran jelas mengenai kesan sekatan dan tekanan antarabangsa terhadap rakyat kedua-dua negara, termasuk gangguan terhadap bekalan asas dan perubatan.
"Semasa bertemu dengan duta Iran dan Cuba, mereka memaklumkan kedua-dua negara berhadapan gangguan serius terhadap bekalan asas dan perubatan akibat tekanan dan sekatan yang dikenakan secara zalim oleh kuasa-kuasa yang memperalatkan kekuatan mereka untuk menindas yang lain," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka.
Nurul Izzah berkata, rakyat tidak boleh menganggap isu seperti Iran, Cuba atau konflik di Palestin sebagai perkara yang jauh daripada Malaysia kerana dunia hari ini saling berkait dari sudut ekonomi, perdagangan, keselamatan dan bekalan.
Menurutnya, gangguan terhadap laluan perdagangan antarabangsa, termasuk di Selat Hormuz, boleh memberi kesan kepada harga minyak, harga barangan dan bekalan baja di Malaysia.
"Kalau rumah di hujung kampung terbakar, kita mungkin rasa api itu jauh. Tetapi asapnya tetap sampai kepada kita.
"Perang berlaku ribuan kilometer dari Malaysia. Tetapi apabila laluan perdagangan terganggu, harga minyak dan harga barang naik, baja pun tidak sampai," katanya.
Beliau berkata, persaingan teknologi antara kuasa besar juga akhirnya memberi kesan kepada jenis pekerjaan dan peluang ekonomi yang boleh dinikmati rakyat Malaysia.
Justeru, Nurul Izzah menegaskan rakyat perlu mengiktiraf peranan Anwar sebagai Perdana Menteri yang membawa suara Malaysia ke pentas antarabangsa, khususnya dalam membela negara dan masyarakat yang berdepan tekanan serta penindasan.
"Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri mewakili suara kita. Beliau bersuara di pentas antarabangsa.
"Jangan nafikan pengorbanan dan peranan beliau. Kritiklah perkara yang salah, saya pun mengkritik, tetapi jangan menafikan peranan hanya kerana dendam atau sebab yang tidak munasabah," katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga mempunyai kedudukan penting dalam kalangan negara Selatan Global dan masyarakat Muslim, termasuk mereka yang menjadi minoriti di negara lain yang melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang perlu terus bersatu dan berjaya.
Ujarnya, harapan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia seharusnya menjadi dorongan untuk rakyat memperkukuh perpaduan serta menjadikan negara lebih baik.




Comments