top of page

Malaysia sokong tadbir urus global, tegaskan dunia multipolar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 19
  • 2 min read
ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Malaysia bertegas dengan pendiriannya untuk menyokong inisiatif tadbir urus global yang menekankan pembentukan dunia multipolar, sekaligus menolak dominasi kuasa tunggal dalam struktur politik dan kewangan antarabangsa.


Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Arief Izuadin, sikap tersebut ditampilkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 baru-baru ini diterima banyak pihak dan memudahkan Malaysia disokong untuk menjadi anggota kerjasama antara kerajaan, BRICS.


"Malaysia berkawan dengan Amerika Syarikat, Rusia mahupun China tanpa masalah.


"Sokongan penuh Presiden China, Xi Jinping terhadap hasrat Malaysia menyertai BRICS baru-baru ini dilihat sebagai pengiktirafan kepada dasar luar Malaysia yang konsisten berkecuali sejak era Tun Abdul Razak.


"Prinsip neutral dan berkecuali ini yang menjadikan sokongan China begitu signifikan, kerana ia mengiktiraf dasar luar Malaysia yang konsisten sejak zaman Tun Razak membuka hubungan diplomatik dengan Beijing," kata Arief kepada Suara Keadilan.


Menurut Arief lagi, dalam sidang kemuncak SCO itu Perdana Menteri turut menegaskan aspirasi Malaysia untuk mengangkat multilateralisme dan memperjuangkan keadilan antarabangsa, termasuk isu Palestin serta rakyat tertindas di seluruh dunia.


Justeru katanya, jemputan kepada Malaysia untuk menyertai BRICS oleh Presiden China, Xi Jinping bukan sahaja penghormatan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar, malah membuktikan komitmen Malaysia untuk menjadi sahabat kepada semua kuasa besar tanpa menyebelahi mana-mana blok.


"Malaysia berpendirian dunia tidak harus dikuasai secara unipolar atau bipolar, sebaliknya perlu dibentuk melalui multipolar yang lebih seimbang dengan kemunculan kuasa baharu seperti China, Rusia dan negara-negara lain yang mampu mengimbangi dominasi Amerika Syarikat.


"Malaysia sebagai negara kecil dalam ASEAN secara tegas menyatakan pendirian kita tidak mahu dunia dikawal satu blok kuasa sahaja.


"Kita menolak struktur unipolar yang cuba ditegakkan semula oleh AS, sebaliknya, multipolar memberi ruang lebih adil kepada semua negara.


"Selain itu, Malaysia turut memainkan peranan aktif dalam isu perdagangan dan rantaian bekalan global.


"Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan ASEAN-China-GCC di Kuala Lumpur membuktikan komitmen Malaysia sebagai penghubung antara rantau Asia dan Timur Tengah, bagi memastikan kestabilan perdagangan antarabangsa terus terjamin


"Dengan penyertaan ke dalam BRICS, Malaysia dijangka memperoleh akses lebih luas kepada pasaran ekonomi global, memanfaatkan kerjasama strategik dengan Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, negara-negara yang mewakili hampir separuh populasi dunia," ujarnya lanjut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page