top of page

Diskaun pendidikan: Tekad politik tidak cukup tanpa keupayaan fiskal

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Sebanyak RM77.5 bilion pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah disalurkan kepada lebih 4.26 juta pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.


Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim (gambar) berkata, seramai 417,158 peminjam PTPTN dikenal pasti sebagai culas dan masih belum membuat sebarang bayaran balik pinjaman pendidikan mereka setakat ini.


Sehubungan itu tegasnya, kira-kira 0.7 peratus daripada jumlah tersebut akan dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara berikutan kegagalan menjelaskan tunggakan pinjaman PTPTN.


"(Ia) bukan dikenakan kepada peminjam yang baru menamatkan pengajian mereka atau belum mempunyai pendapatan, apatah lagi mereka yang tergolong dalam M40 atau B40.


"Hanya peminjam berpendapatan tinggi atau mencukupi sahaja yang benar-benar culas, dan menepati kriteria tertentu yang akan dikenakan sekatan perjalanan di bawah inisiatif itu," katanya dipetik di Dewan Rakyat pada Isnin.


Beliau sebelumnya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berhubung jumlah keseluruhan hutang PTPTN dan sama ada kerajaan bersedia untuk menghapuskan pinjaman pendidikan seperti yang pernah dijanjikan sebelum ini.


Mengulas lanjut Adam Adli menjelaskan, kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan inisiatif pendidikan percuma yang memanfaatkan kira-kira 13,000 pelajar daripada golongan rentan.


"(Inisiatif) ini sedang dilakukan pada peringkat sekarang. Sama ada menerusi pengajian percuma atau mengurangkan kos yuran universiti, keanjalan serta diskaun semua bukan sahaja tekad politik sebaliknya memerlukan keupayaan fiskal


"Kalau kita ambil manifesto contohnya Pakatan Harapan (HARAPAN), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), semua ada sebut soal mengurangkan beban pelajar," ujarnya.


Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Januari lalu mengumumkan untuk meningkatkan kuota pendidikan percuma dan biasiswa PTPTN kepada 10,000 pelajar dalam kalangan keluarga miskin tegar.


Perdana Menteri turut memaklumkan seramai 3,000 pelajar dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) di institut pengajian tinggi awam (IPTA), Politeknik dan Kolej Komuniti bakal dikecualikan yuran pengajian.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page