top of page

Penduduk Pengerang terjejas bekalan air SAJ perlu bertindak

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Bantuan air mineral dihantar kepada penduduk kampung yang terjejas
Bantuan air mineral dihantar kepada penduduk kampung yang terjejas

Keadaan Empangan Machap yang didakwa semakin susut simpanan airnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk di beberapa kawasan sekitar Pengerang apabila mereka hampir terputus bekalan air sejak beberapa hari lalu.


Ketua Cabang KEADILAN Pengerang, Mohd Faizul Abd Ghani berkata, walaupun terdapat kawasan yang masih menerima bekalan, penduduk di sekitar Kampung Ithnin Maarof dan Pineapple Estate berdepan gangguan hampir empat hari selain tekanan air yang terlalu rendah.


"Ada beberapa tempat masih mendapat bekalan air, akan tetapi di kawasan kami sekitar Kg Ithnin Maarof dan Pineapple Estate hampir empat hari bekalan terjejas ditambah tekanan rendah.


"Hanya titisan sahaja sampai ke kawasan kami," katanya dalam muat naik di media sosial.


Menurut beliau, kedudukan kawasan yang agak pedalaman dipercayai menjadi antara faktor bekalan air tidak sampai sepenuhnya kerana bekalan didakwa lebih banyak dimanfaatkan di kawasan pekan.


"Atas inisiatif sendiri bersama rakan-rakan KEADILAN Johor, saya telah menyalurkan bantuan kilat berupa beberapa karton air mineral kepada penduduk setempat," ujarnya.


Sehubungan itu, Faizul menyeru pihak Syarikat Air Johor (SAJ) agar segera turun padang dan menggerakkan lori tangki bagi membekalkan air kepada penduduk terjejas.


"Saya menyeru pihak SAJ datang ke kawasan ini dan bekalkan air paip dengan mobilisasi lori mereka," ujarnya.


Beliau turut menanyakan inisiatif pimpinan setempat dalam menangani isu berkenaan.


Tambah beliau, situasi akan lebih membimbangkan apabila catuan air mula dilaksanakan menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan, yang kebiasaannya penggunaan air akan meningkat.


"Musim perayaan Tahun Baru Cina dan Awal Ramadan kian menjelang. Sudah pasti penggunaan air lebih meningkat," kata beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page