top of page

Tubuh Jawatankuasa Pengawasan Bebas perkukuh SPRM - Nurul Izzah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read
Nurul Izzah menggesa penubuhan Jawatankuasa Pengawasan Bebas bagi memperkasa usaha banteras rasuah
Nurul Izzah menggesa penubuhan Jawatankuasa Pengawasan Bebas bagi memperkasa usaha banteras rasuah

Kerajaan digesa memperkukuh akauntabiliti dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerangka antirasuah negara dengan menubuhkan Jawatankuasa Pengawasan Bebas yang melapor terus kepada Parlimen.


Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mengakui walaupun usaha membanteras rasuah di bawah pentadbiran MADANI lebih aktif berbanding era sebelumnya, ia tidak semestinya menjamin akauntabiliti.


Tambahnya, tekad untuk membersihkan sistem tanpa mengira pangkat atau status mesti disertai proses sewajarnya, ketelusan, dan pendakwaan berterusan untuk mendapatkan kepercayaan rakyat.


"Jawatankuasa pengawasan yang dicadangkan perlu diberi kuasa untuk menyemak tindakan penguatkuasaan, meneliti keputusan berkaitan pembekuan aset, mengaudit aliran kewangan, dan memastikan usaha antirasuah berpandukan bukti, proses yang sah, serta kepentingan rakyat.


"Ini bukan bermaksud melemahkan perjuangan menentang rasuah, sebaliknya ia bertujuan mengukuhkan lagi usaha tersebut melalui pemulihan kredibiliti, ketelusan, dan keyakinan rakyat.


"Jika kita serius mahu reformasi, institusi kita bukan sahaja mesti berkuasa, ia juga mesti bertanggungjawab," katanya dipetik.


Nurul Izzah sementara itu berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) yang kukuh, bebas, dan berani adalah amat penting bagi memastikan agenda antirasuah yang berwibawa.


Bagaimanapun, persoalan mengenai cara kuasa digunakan tidak seharusnya dilihat sebagai serangan terhadap institusi penguatkuasaan.


"Di sebalik skandal individu, rakyat bimbang tentang cara kuasa penguatkuasaan digunakan dan dipantau, khususnya apabila kuasa penyiasatan, pendakwaan, dan kewangan tertumpu pada satu institusi sahaja tanpa pengawasan luaran yang mencukupi, yang menimbulkan risiko sistemik.


"Tindakan penguatkuasaan, walaupun berniat baik, tidak seharusnya dilihat sebagai melulu atau sewenang-wenangnya, terutamanya melibatkan pembekuan aset.


"Institusi penguatkuasaan mesti bertanggungjawab supaya keadilan dapat ditegakkan tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan tiada siapa, termasuk pihak penguatkuasa, berada di atas pengawasan," katanya.

1 Comment


Gwyneth Magnus
Gwyneth Magnus
20 minutes ago

In That’s Not My Neighbor, the concept of “neighbor” becomes more suspicious than ever. Doppelgangers can mimic appearance and behavior almost perfectly, forcing players to question every detail they encounter.

Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page