PM tunjuk kepimpinan berani tangani isu rumah ibadat – AMK
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai pemimpin yang berani dan bertanggungjawab apabila tidak mengelak daripada berdepan isu-isu rumit, termasuk polemik berkaitan rumah ibadat.
Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Jalex Lee (gambar) berkata, pendekatan Perdana Menteri dalam menangani isu berkenaan mencerminkan keazaman politik yang diperlukan bagi memastikan kestabilan politik dan pentadbiran di negara ini.
"Perdana Menteri telah menunjukkan kepimpinan yang berani dengan tidak mengelak daripada berdepan isu-isu rumit, sebaliknya memilih untuk menanganinya secara bertanggungjawab.
"Pendekatan ini mencerminkan keberanian dan keazaman politik yang diperlukan untuk memastikan kestabilan dan masa depan negara terus terpelihara," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, isu rumah ibadat tidak boleh dilihat sebagai masalah yang timbul secara tiba-tiba, sebaliknya merupakan legasi berpanjangan yang telah berlarutan selama berpuluh-puluh tahun dan memerlukan penyelesaian menyeluruh.
"Penyelesaiannya menuntut kebijaksanaan, ketegasan serta keberanian untuk membuat keputusan yang tidak popular tetapi perlu," ujarnya.
Jalex turut menegaskan bahawa mutakhir ini isu berkenaan telah dibangkitkan dan diapi-apikan oleh segelintir pihak yang cuba mengeksploitasinya demi kepentingan tertentu, sehingga berisiko menggugat keamanan dan semangat perpaduan masyarakat majmuk.
"Dalam keadaan ini, PMX memikul tanggungjawab besar untuk mengimbangi kepentingan semua pihak dan memastikan Malaysia kekal aman dan damai, tanpa membiarkan sentimen sempit merosakkan keharmonian yang telah lama dibina," katanya lagi.
Beliau menambah bahawa kedaulatan undang-undang mesti kekal sebagai tunjang utama dalam menguruskan isu tersebut.
"Pematuhan kepada undang-undang secara adil dan konsisten adalah kunci bagi mengelakkan isu seperti ini berulang, demi menjaga keamanan dan masa depan negara yang kita cintai," katanya lagi.









Comments