Kumaresan beri sumbangan RM2,000 kepada Unit Nelayan Batu Uban
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-32/2026 Unit Nelayan Batu Uban yang berlangsung di Jeti Nelayan Batu Uban, baru-baru ini.
Beliau merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada kepimpinan serta ahli Unit Nelayan Batu Uban kerana berjaya melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan seperti yang diwajibkan di bawah perlembagaan persatuan.
"Syabas dan terima kasih kepada kepimpinan serta ahli Unit Nelayan Batu Uban kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab organisasi dengan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ini.
"Sebagai wakil rakyat Batu Uban, saya akan sentiasa berusaha menghadiri setiap Mesyuarat Agung Tahunan yang dianjurkan sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada komuniti nelayan," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut Kumaresan, golongan nelayan di Batu Uban memainkan peranan penting dalam memastikan rantaian bekalan makanan negara sentiasa terjamin.
"Pengorbanan mereka yang turun ke laut tanpa mengira panas dan hujan wajar dihargai serta diberi perhatian berterusan," ujarnya.
Dalam majlis tersebut, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada Unit Nelayan Batu Uban bagi menyokong pengurusan dan pelaksanaan aktiviti persatuan.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang secara konsisten menyalurkan bantuan melalui pemberian baucar sumbangan pukat setiap tahun.
"Kerajaan Persekutuan turut membantu meringankan beban nelayan melalui Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan dan bantuan lain, sebagai sokongan kepada operasi nelayan serta usaha memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara," katanya lagi.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri wakil daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Persatuan Nelayan Kawasan.








Comments