top of page

PH N Sembilan kutuk usaha singkir Tuanku Muhriz, derhaka atas institusi Diraja

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
8 minutes ago
2 min read

Majlis Pimpinan Negeri Pakatan Harapan Negeri Sembilan (MPNPHNS) mendakwa terdapat usaha melibatkan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta.


MPNPHNS dalam kenyataan media memaklumkan pihaknya memandang serius perkembangan berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz, termasuk tindakan dan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 15 September lalu.


"MPNPHNS memandang berat dan mengutuk sekeras-kerasnya penglibatan secara ‘total’ Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Negeri Sembilan dalam usaha untuk menyingkirkan dan menurunkan DYMM Tuanku Muhriz daripada takhta melalui suatu proses yang menurut pendirian MPNPHNS tidak mematuhi UUTKNS 1959, khususnya Perkara 10(1) dan 10(2)," kata kenyataan itu.


Menurut MPNPHNS, perkara tersebut menjadi lebih serius susulan surat Menteri Besar Negeri Sembilan bertarikh 17 September 2026 kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz dan pemilihan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.


MPNPHNS berkata surat berkenaan turut memaklumkan keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 15 September yang, menurut mereka, mengiktiraf penurunan takhta Tuanku Muhriz dan pemilihan Tuanku Nadzaruddin serta mengarahkan pentadbiran kerajaan negeri melaksanakan keputusan tersebut.


"Pada pendirian MPNPHNS, usaha menyingkirkan DYMM Yang di-Pertuan Besar melalui proses yang tidak mematuhi UUTKNS 1959, diikuti tindakan pentadbiran untuk mengiktiraf seorang Yang di-Pertuan Besar yang lain dan membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Raja-Raja Melayu, merupakan suatu penderhakaan secara terang-terangan terhadap Raja Pemerintah," katanya.


MPNPHNS turut mendakwa perkara itu serius kerana melibatkan anggota pentadbiran negeri yang telah mengangkat sumpah dan ikrar taat setia kepada Tuanku Muhriz serta institusi Diraja.


Dalam perkembangan berkaitan, Istana Negeri Sembilan pada 20 September memaklumkan pelantikan anggota Exco negeri dibatalkan berkuat kuasa serta-merta kerana didapati melanggar sumpah jawatan.


MPNPHNS menegaskan titah Yang di-Pertuan Besar yang dibuat menurut kuasa dan peruntukan perlembagaan hendaklah dihormati, dijunjung dan dipatuhi.


"MPNPHNS menegaskan bahawa Menteri Besar hendaklah mengambil tindakan sewajarnya terhadap titah DYMM supaya senarai calon Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu dipersembahkan untuk pertimbangan dan perkenan Baginda menurut UUTKNS 1959," katanya.


MPNPHNS turut menegaskan bahawa anggota pentadbiran negeri tidak seharusnya memilih untuk mematuhi titah Raja hanya apabila titah berkenaan selari dengan kehendak mereka.


"Kesetiaan kepada Raja dan Negara mesti diterjemahkan melalui tindakan, bukan sekadar dilafazkan melalui sumpah dan ikrar," katanya.


Sehubungan itu, MPNPHNS menggesa keseluruhan perkara berkenaan disiasat secara telus, bebas dan menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan.


"Sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan tegas hendaklah diambil tanpa mengira kedudukan, pangkat atau jawatan," kata kenyataan itu.


Dalam pada itu, MPNPHNS memaklumkan akan mengadakan Munajat Rakyat Negeri Sembilan dengan Solat Hajat secara berjemaah di Seremban pada 24 September.


Program berkenaan akan disusuli dengan penganjuran Solat Hajat di peringkat Parlimen pada minggu-minggu berikutnya.


"Kita memohon kepada Allah SWT agar segala kekusutan dapat diuraikan, kebenaran diperlihatkan serta Negeri Sembilan terus dipelihara dalam keamanan, keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page