top of page

Pelarian Myanmar: 6,803 warga Myanmar akan dihantar pulang Disember ini

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
10 minutes ago
2 min read

Kita runding dan atas rundingan itu dan selari dengan keputusan ICJ iaitu menjamin (safe and dignified return). Apa hasilnya? Setakat hari ini, 10,476 telah dibawa pulang atas kos Myanmar, sebahagian besarnya menggunakan pesawat, termasuk 1,476 menerusi kapal perang Myanmar yang membawa pulang rakyat negara itu pada 29 September lalu - Anwar

Sebanyak 6,803 warga Myanmar yang kini berada di Malaysia dijadual dihantar pulang ke negara asal pada Disember ini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seramai 5,303 warga Myanmar akan dibawa pulang menggunakan pesawat yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negara itu, hasil rundingan dan pendirian yang telah dinyatakan Malaysia.


Beliau berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan juga sudah meluluskan penggunaan tiga kapal angkatan laut untuk membawa pulang 1,500 rakyat Myanmar pada 6 dan 7 Disember ini.


"Setakat hari ini, 10,476 telah dibawa pulang atas kos Myanmar, sebahagian besarnya menggunakan pesawat, termasuk 1,476 menerusi kapal perang Myanmar yang membawa pulang rakyat negara itu pada 29 September lalu.


"Dengan kerjasama yang diperoleh daripada kerajaan Myanmar, kita tidak pernah meninggalkan prinsip, bantahan dan pendirian kita seperti yang telah dinyatakan, selain mengekalkan lima perkara konsensus yang diterima pakai oleh semua negara ASEAN.


"Saya telah maklumkan kepada semua pimpinan ASEAN termasuk yang bersidang baru-baru ini di Manila iaitu Malaysia masih kekal dengan lima perkara konsensus (dan) masih kekal prihatin terhadap penganiayaan beberapa kumpulan etnik, bukan sahaja Rohingya, tetapi yang lain, (bagaimanapun) kita mahu ada penyelesaian," katanya.


Beliau berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.


Terdahulu, Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) bertanya adakah Malaysia berasa bersalah sekarang kerana telah menjemput Ketua Kerajaan Junta Myanmar ke Malaysia baru-baru ini, apabila kini pada 19 November 2026 Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda memutuskan bahawa Pasukan Keselamatan Myanmar telah membunuh beribu-ribu orang awam Rohingya di Myanmar.


Mengulas lanjut, Anwar berkata, keputusan menjemput Ketua Kerajaan Junta Myanmar itu dilakukan sebelum ICJ mengeluarkan kenyataan sedemikian.


"Dalam memutuskan dasar, keutamaannya ialah memelihara kepentingan negara, apakah dengan mengundang Presiden Myanmar ke Malaysia itu membantu menyelesaikan masalah negara?


"Jawabnya ia kerana tidak berkesudahan mengharapkan negara ketiga, tidak berhasil dan mengharapkan mereka dibawa pulang dengan mudah pun tidak berlaku.


"Jadi, kita runding dan atas rundingan itu dan selari dengan keputusan ICJ iaitu menjamin (safe and dignified return).


"Apa hasilnya? Setakat hari ini, 10,476 telah dibawa pulang atas kos Myanmar, sebahagian besarnya menggunakan pesawat, termasuk 1,476 menerusi kapal perang Myanmar yang membawa pulang rakyat negara itu pada 29 September lalu," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page