KEADILAN Kuantan anjur Ziarah Kasih MADANI, santuni golongan memerlukan
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

KEADILAN Cabang Kuantan terus mempergiat agenda membantu rakyat yang berada dalam kesusahan menerusi pelbagai aktiviti khidmat masyarakat melibatkan kepimpinan cabang dan ranting di seluruh Parlimen Kuantan.
Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi berkata, Program Ziarah Kasih MADANI telah digerakkan sejak awal tahun dan dilaksanakan setiap minggu meliputi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Teruntum, Tanjung Lumpur dan Inderapura.
"Pasukan kepimpinan Cabang Kuantan digerakkan mengikut DUN, manakala kepimpinan ranting turun bersama dalam lawatan rumah ke rumah menyantuni keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan.
"Ramai antara mereka sakit dan memerlukan keperluan asas seperti lampin dewasa, susu khas pesakit kencing manis, katil pesakit serta kerusi roda," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam siri lawatan tersebut, Bendahari Cabang Kuantan, Kent Koh Yee Yen bersama Ketua-Ketua Ranting DUN Teruntum turut turun padang menyantuni keluarga terlibat.
Ketua Ranting Seri Kuantan MADANI, Albert Tan Siew Khong berkata, usaha berterusan cabang memberi peluang kepada kepimpinan ranting untuk lebih dekat dengan masyarakat.
"Program ini memberi ruang untuk kami berkongsi pengalaman mendekati golongan yang memerlukan. Ia menimbulkan keinsafan tentang betapa pentingnya peranan ranting di peringkat akar umbi," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Ranting Alor Akar MADANI, Vijayakumar Subramaniam menyifatkan peluang mendekati kumpulan rentan membuka mata beliau mengenai pelbagai bantuan kebajikan yang disediakan Kerajaan MADANI.
"Apabila bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan, saya percaya masyarakat akan lebih yakin dengan khidmat berterusan daripada KEADILAN Cabang Kuantan," katanya.
Dalam perkembangan sama, sempena persiapan menghadapi musim perayaan Tahun Baharu Cina, KEADILAN Cabang Kuantan turut merancakkan pelaksanaan Jualan Rahmah MADANI Bergerak (JRMB) di pelbagai lokasi.
Menurut Fakhrul Anuar, inisiatif Kerajaan MADANI itu membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan, khususnya bagi kawasan yang mempunyai ramai penduduk berpendapatan rendah.









Comments