top of page

Elak provokasi kaum, agama babit isu rumah ibadat - ABIM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Proses penguatkuasaan undang-undang terhadap rumah ibadat yang dibina di atas tapak tidak sah perlu dilaksana secara adil, konsisten, berintegriti dan berhemah selaras prinsip Malaysia sebagai sebuah negara hukum.


Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (gambar) berkata, tindakan itu penting bagi memulihkan disiplin pentadbiran, mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi pihak berkuasa tempatan (PBT) serta menutup ruang manipulasi sentimen kaum dan agama yang semakin membimbangkan.

"ABIM menyambut baik pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa Malaysia ialah sebuah negara hukum dan semua pihak wajib menghormati undang undang termasuk dalam isu rumah ibadat yang dibina di tapak tidak sah.


"ABIM mencadangkan pemutihan bersyarat bagi rumah ibadat lama yang terbina akibat kecuaian sistem termasuk pendaftaran rasmi, pematuhan aspek keselamatan serta penyelesaian status tanah melalui proses yang telus dan sah.


"Keperluan rizab rumah ibadat pelbagai agama dalam pembangunan baharu juga perlu diambil kira supaya isu yang sama tidak berulang dan keharmonian masyarakat majmuk tidak dikorbankan," katanya dalam satu kenyataan.


Menerusi kenyataan sama beliau turut berharap isu rumah ibadat tidak sah itu tidak dijadikan medan mengaibkan mana-mana komuniti.


Justeru beliau menyeru semua pihak menghentikan ucapan kebencian, penghinaan perkauman serta provokasi agama.


"ABIM mengusulkan penubuhan Jawatankuasa Khas Pemantauan Rumah Ibadat di setiap negeri melibatkan PBT, pejabat tanah, agensi agama negeri serta wakil badan agama bukan Islam yang sah, bagi memantau dan menyelesaikan isu sebelum menjadi krisis.

"ABIM percaya Malaysia kekal kuat kerana kepelbagaian yang diurus dengan adil, berperaturan dan beradab, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan semangat perpaduan nasional," tambahnya.


Terdahulu, Perdana Menteri berkata, bahawa Malaysia merupakan negara berperlembagaan dan sebarang pembinaan rumah ibadat tertakluk kepada undang-undang.


Kerajaan tegasnya tidak membenarkan mana-mana rumah ibadat dibina secara tidak sah tanpa mengikut peraturan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page