Malaysia sokong rundingan damai selesai konflik Palestin
- Suara Keadilan

- Oct 9
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Malaysia memberikan sokongan penuh kepada usaha rundingan antara Israel dan sayap politik Hamas yang diadakan di Mesir pada ketika ini untuk mencari penyelesaian berpanjangan, termasuk menghentikan kepungan di wilayah Gaza.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berharap rundingan yang disertai kuasa besar Amerika Syarikat itu akan membuahkan hasil positif.
Beliau berharap rundingan akan menjadi jalan penyelesaian selepas ini termasuk usaha yang akan dilakukan Malaysia apabila Presiden Trump hadir ke Sidang Kemucak ASEAN pada hujung bulan ini.
"Hari ini di Sharm el-Sheikh, Mesir ada rundingan. Ditekan oleh Amerika Syarikat, Mesir, Qatar. Disertai oleh Hamas dan juga Israel. Ada permulaan perbincangan, liku-likunya masih panjang.
"Kita mendoakan, mudah-mudahan ada hasil yang lebih positif. Mengapa kerajaan Malaysia mengambil tindakan, keputusan mendukung semangat persefahaman awal ini? Apakah kita puas hati sepenuhnya? Tidak.
"Tetapi, kita bersama dengan rakan-rakan dunia Arab, dunia Islam dan dengan negara yang lebih progresif, mahu penindasan ini, kezaliman ini, penjajahan ini, pembunuhan ini dihentikan oleh Zionis Israel.
"Kita mahu Gaza bebas dan kita mahu segera bantuan kemanusiaan sampai. Tapi ini tidak boleh menghentikan ia jadi polemik politik seolah-olah kita jual maruah, kita tunduk kepada Presiden Trump," katanya ketika berucap pada Himpunan Soladariti Gaza di Stadium Arena Axiata, Kuala Lumpur malam tadi.
Jelas beliau melalui usaha diplomasi peringkat tertinggi juga membolehkan usaha membawa pulang kesemua 23 sukarelawan yang mengikuti Global Sumud Flotilla (GSF) dapat dilakukan dengan cepat ketika masih ada lagi peserta misi negara lain masih dalam tahanan Israel.
Kata Perdana Menteri, tugas itu bukan dilakukan beliau seorang, sebaliknya melibatkan ramai pemimpin negara lain yang mempunyai hubungan baik dengan Malaysia.
"Baru-baru ini selesai masalah yang rakan-rakan kita, 23 orang.....tetapi, ini bukan kerja saya seorang. Betul! Emir Qatar, Perdana Menteri Qatar. Kemudian Presiden Tayyip Erdogan. Penasihat Keselamatan. Kita bincang. Tetapi ramai. Datuk Seri Mohamad Hasan hubungi Setiausaha Negara AS (Marco) Rubio...
"Oh, tanya, oh apa guna? Amerika itu sokong Israel. Tapi kita hendak cari penyelesaian. Penyelesaian itu ada kebijaksanaan. Memerlukan kebijaksanaan. Bukan kita menyerah. Kita mencari helah kebijaksanaan yang disebut diplomasi," katanya.









Comments