Malaysia kutuk rancangan Israel rampas 70 peratus wilayah Gaza
- Azuan Ab Rahman

- 6 days ago
- 1 min read

Malaysia mengeluarkan kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya rancangan Israel untuk merampas 70 peratus wilayah Gaza di Palestin.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) berkata rancangan itu dengan jelas membuktikan niat terancang Israel untuk menafikan hak rakyat Palestin dan Malaysia membantah sekeras-kerasnya rancangan terbabit.
"Tindakan itu (rampasan) menyalahi undang-undang dan sama sekali tidak boleh diterima. Ia adalah pelanggaran nyata oleh Israel terhadap undang-undang antarabangsa.
"Ia juga pelanggaran nyata Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), juga melanggar pelbagai resolusi Majlis Keselamatan PBB dan Perhimpunan Agung PBB," kata Wisma Putra menerusi kenyataan.
Menurut kenyataan itu, Malaysia bersolidariti dan menyokong penuh usaha Palestin menubuhkan negara merdeka dan berdaulat, di tanah air mereka sendiri yang merangkumi Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur dan menyeru masyarakat antarabangsa bersatu dan bertindak membantah rancangan Israel.
"Sebarang usaha untuk mengubah hakikat itu hanya akan mengakibatkan ketidakadilan yang lebih ketara serta memburukkan lagi keadaan keselamatan dan keamanan yang sedia rapuh di rantau berkenaan.
"Rakyat Gaza terus menderita akibat tindakan genosid dan kemusnahan yang dilakukan oleh Israel. Sebarang bentuk pengilhakan wilayah Palestin adalah salah di sisi undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dibenarkan," tambahnya,
Terdahulu media antarabangsa yang memetik media Israel melaporkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengarahkan tenteranya untuk merampas kira-kira 70 peratus wilayah di Gaza, Palestin.
Tindakan berkenaan sekali gus dianggap sengaja melanggar perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua pihak melalui Amerika Syarikat (AS) sebagai perantara pasca Oktober 2025.




Comments