Malaysia kembali dihormati dunia, ekonomi kukuh, diplomasi MADANI dikagumi
- Suara Keadilan
- 13 minutes ago
- 2 min read

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu, menegaskan bahawa Malaysia kini kembali dihormati di peringkat serantau dan antarabangsa hasil kepimpinan berprinsip serta pendekatan diplomasi MADANI yang seimbang antara ketegasan dan kebijaksanaan.
"Diplomasi kita ternyata tegas pada prinsip tetapi lembut pada pendekatan. Itulah gaya MADANI," ucap beliau ketika merasmikan Konvensyen Nasional AMANAH 2025 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, hari ini.
Menurut Mohamad Sabu, pendekatan ini menjadikan Malaysia kembali berperanan penting di ASEAN, khususnya sebagai penggerak utama dalam penyelesaian konflik serantau termasuk rundingan keamanan antara Thailand dan Kemboja.
"Hari ini Malaysia kembali dihormati di ASEAN. Kita jadi penggerak utama kepada penyelesaian konflik termasuk rundingan keamanan antara Thailand dan Kemboja," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa di dunia Islam, Malaysia muncul sebagai suara lantang dalam memperjuangkan keadilan, khususnya bagi rakyat Palestin.
Dari segi ekonomi, Mohamad Sabu berkata kestabilan politik di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) telah membawa kepada pemulihan kukuh dan peningkatan keyakinan pelabur antarabangsa.
"Bila politik stabil, ekonomi mula tunjuk pemulihan. Dalam masa tiga tahun pelaburan asing diluluskan mencapai RM358 bilion, tertinggi dalam sejarah negara ini. Ini bukan sekadar angka atas kertas, tetapi bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia sudah kembali," katanya.
Beliau menambah, Malaysia kini mencatat pertumbuhan 4.4 peratus, kadar pengangguran hanya 3 peratus, dan inflasi sederhana pada 1.3 peratus, manakala ringgit turut mengukuh lebih 5 peratus.
"Ini bukan kerana nasib tetapi kerana dasar ekonomi yang kukuh. Inilah hasil ekonomi berjiwa rakyat. Kita tidak mahu angka besar di papan statistik tetapi senyuman rakyat di bawah," ujarnya
Mohamad Sabu turut memuji keberanian Kerajaan Madani dalam melaksanakan reformasi subsidi yang dianggap sukar tetapi perlu, demi memastikan bantuan hanya disalurkan kepada rakyat yang benar-benar layak.
"Langkah ini pahit tetapi ibarat ubat. Subsidi diesel, ayam, telur semua disasar semula hanya kepada rakyat yang layak. Hasilnya, penjimatan sebanyak RM6 bilion dapat disalurkan kembali kepada program bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah," jelas beliau.
Beliau turut memetik dapatan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang menyatakan bahawa ketirisan subsidi berlaku sejak merdeka, justeru langkah menstruktur semula subsidi adalah tindakan yang wajib.
Katanya lagi, hasil penambahbaikan tatakelola kewangan negara membolehkan kerajaan memperoleh RM15 bilion tambahan, seperti diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2026.
"Inilah Islam dalam tindakan — menyalurkan amanah kepada yang berhak, hasilnya kembali kepada kesejahteraan rakyat," tegas Mohamad Sabu.
Beliau menyimpulkan bahawa di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Madani membuktikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, berpaksikan prinsip keadilan, amanah dan keberanian membuat perubahan.





