top of page

Malaysia catat sejarah jadi tuan rumah Perjanjian Damai Kuala Lumpur

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 46 minutes ago
  • 2 min read

DS Anwar mengalu alukan termeterainya Perjanjian Damai Thailand - Kemboja disaksikan Presiden Trump
DS Anwar mengalu alukan termeterainya Perjanjian Damai Thailand - Kemboja disaksikan Presiden Trump

Malaysia membuktikan keupayaan diplomatiknya di peringkat antarabangsa apabila menjadi saksi kepada termeterainya Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand, disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.


Dalam kenyataannya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur atas kejayaan bersejarah itu yang melambangkan kejayaan diplomasi ASEAN dalam menyemai keamanan dan kestabilan serantau.


"Detik ini menandakan kejayaan diplomasi ASEAN dalam menyemai keamanan dan kestabilan serantau, sebagai kesinambungan kepada gencatan senjata yang termeterai pada 28 Julai lalu di Putrajaya," katanya.


Menurut beliau, usaha ini hanya berjaya hasil keprihatinan dan sokongan padu daripada rakan-rakan serantau serta antarabangsa yang mendukung prinsip keamanan dan dialog.


"Saya menghargai keprihatinan rakan-rakan serantau dan antarabangsa yang mendukung usaha ini, termasuk Presiden Trump. Peranan bersama inilah yang mendorong pemimpin Kemboja dan Thailand mencapai kata sepakat serta mengambil langkah berani memilih perdamaian," jelasnya.


Dalam pertemuan bersejarah itu, Anwar turut menegaskan kepada Presiden Trump tentang pentingnya memperluas agenda keamanan ke wilayah lain yang masih bergolak, khususnya di Gaza.


"Di hadapan Presiden Trump, saya turut tegaskan keperluan memperluas agenda keamanan ini ke wilayah lain yang masih bergolak, khususnya di Gaza, agar dunia kembali berpaksikan keadilan dan kemanusiaan sejagat," katanya.


Anwar berkata, kejayaan rundingan damai itu membuktikan bahawa suara ASEAN kini semakin dihormati sebagai jambatan perdamaian dunia, dan menjadi contoh bagaimana dialog, kesederhanaan serta komitmen ikhlas mampu menamatkan sengketa yang berlarutan.


"Perjanjian ini membuktikan bahawa suara ASEAN kini semakin dihormati sebagai jambatan perdamaian, memperlihatkan bagaimana dialog dan kesederhanaan mampu menamatkan sengketa yang berpanjangan," tambah beliau.


Perdana Menteri menegaskan komitmen Malaysia untuk terus berperanan aktif memperkukuh keamanan dan keadilan sejagat.


"Malaysia akan terus memainkan peranan aktif memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa bagi menjunjung keamanan, keadilan dan kesejahteraan, bukan sekadar untuk ASEAN tetapi untuk seluruh umat manusia," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page