Malaysia berpotensi jadi hab teknologi perubatan serantau
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 2 min read

Bekalan peranti perubatan negara kekal stabil meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik yang mengganggu rantaian bekalan dan lanskap perdagangan global
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) berkata, penilaian risiko bekalan terkini setakat 5 Ogos menunjukkan sebanyak 81.3 peratus barangan peranti perubatan berada pada tahap risiko rendah, manakala 18.7 peratus lagi berada pada tahap risiko sederhana dari segi kemungkinan gangguan bekalan.
Bagaimanapun menurutnya, perkembangan global ketika ini menunjukkan tekanan terhadap sektor tenaga, logistik, dan bekalan bahan input kritikal boleh memberi kesan langsung kepada pengeluaran serta ketersediaan barangan keperluan.
"Ini mengukuhkan lagi kepentingan membina daya tahan sebelum gangguan menjadi lebih serius.
"Pendekatan Malaysia adalah dengan menggabungkan kepelbagaian sumber yang lebih besar bersama keupayaan domestik yang lebih kukuh.
"Kita akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa yang dipercayai sambil membina keupayaan dalam negara daripada aspek teknologi, kejuruteraan, inovasi, dan pengeluaran," katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2026 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Sementara itu jelasnya, Malaysia mempunyai asas kukuh untuk muncul sebagai hab teknologi perubatan serantau yang lebih berdaya saing, disokong sektor pembuatan yang mantap, keupayaan perindustrian, kesalinghubungan antarabangsa, institusi kawal selia, bakat serta ekosistem inovasi yang semakin berkembang.
Malaysia jelasnya akan terus mengambil bahagian dalam rantaian nilai global serta mengalu-alukan teknologi dan pelaburan antarabangsa, di samping mewujudkan lebih banyak peluang untuk syarikat, bakat dan harta intelek tempatan berkembang bersamanya.
Akmal Nasrullah sementara itu menegaskan, usaha memperkukuh ekosistem teknologi perubatan negara memerlukan kerjasama pakar klinikal, penyelidik, jurutera, pengeluar, pengawal selia, pelabur dan pasaran.
Justeru jelasnya, ekosistem itu membuka laluan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan untuk berkembang sebagai pembekal khusus, pemaju produk, rakan kongsi teknologi dan pengeksport di peringkat serantau.




Comments