Lebih 3,500 tahanan Myanmar dihantar pulang pada fasa kedua


Seramai 3,542 tahanan warga Myanmar akan dihantar pulang ke negara asal menerusi fasa kedua program penghantaran pulang secara sukarela yang dipersetujui bersama Kerajaan Myanmar.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata jumlah berkenaan dipersetujui kedua-dua kerajaan susulan kejayaan pelaksanaan fasa pertama yang membabitkan 1,476 warga Myanmar semalam.
"Fasa pertama berjaya dilaksanakan semalam membabitkan seramai 1,476 orang yang mana individu ini sudah dikenal pasti oleh pihak Myanmar dan nama-nama ini sudah dikemukakan melalui nota diplomatik bertarikh 13 Ogos 2026 kepada Malaysia," katanya pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan perbincangan dengan pihak Myanmar dalam masa terdekat bagi membolehkan lebih ramai pelarian negara itu yang berada di Malaysia diterima pulang.
"Perdana Menteri juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak Myanmar dalam masa terdekat supaya lebih ramai pelarian yang berada di Malaysia dapat diterima pulang ke Myanmar selepas proses penghantaran kumpulan kedua selesai," katanya.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas Malaysia melaksanakan fasa pertama program berkenaan apabila 1,476 warga Myanmar dihantar pulang menerusi Ops Pier 1.0 dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut semalam.
Kumpulan terbabit terdiri daripada 1,370 lelaki, 79 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara lapan hingga 60 tahun, yang sebelum ini ditempatkan di 14 depot imigresen di seluruh negara.
Penghantaran itu menggunakan tiga kapal Tentera Laut Myanmar termasuk kapal utama UMS Moattama, kapal pengiring UMS King Sin Phyu Shin dan kapal hospital UMS Thanlwin dengan perjalanan keluar dari perairan Malaysia turut mendapat pengiring aset keselamatan negara.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini memaklumkan individu bagi fasa pertama dikenal pasti Kerajaan Myanmar sebelum nama mereka dikemukakan kepada Malaysia menerusi nota diplomatik bertarikh 13 Ogos 2026.
Proses itu membabitkan penyelarasan KDN, Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, TLDM dan Jabatan Imigresen Malaysia termasuk pengesahan identiti, dokumentasi, keselamatan serta keperluan logistik.
Pelaksanaan fasa pertama adalah sebahagian daripada persetujuan antara Malaysia dan Myanmar untuk penghantaran pulang secara berperingkat warga Myanmar yang berada dalam tahanan imigresen.
Perdana Menteri sebelum ini berkata isu pelarian Myanmar perlu ditangani melalui rundingan dengan negara asal dengan keselamatan serta kepentingan rakyat Malaysia diberi keutamaan.
Beliau turut menegaskan bahawa penyelesaian itu perlu dilaksanakan berlandaskan undang-undang dan nilai kemanusiaan.
Fasa penghantaran pulang itu sebelum ini turut mendapat perhatian badan antarabangsa termasuk UNHCR yang menyatakan pihaknya tidak terlibat dalam proses berkenaan serta memberi amaran mengenai keadaan keselamatan di Myanmar.
Kerajaan Malaysia bagaimanapun sebelum ini menyatakan proses penghantaran pulang dilakukan secara sukarela dan berdasarkan persetujuan serta penyelarasan dengan Kerajaan Myanmar.




Comments