top of page

Langkah penyelarasan subsidi bahan api disambut baik - KEADILAN Selangor

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 10 hours ago
  • 2 min read

Penerangan KEADILAN Negeri Selangor menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berhubung langkah penyelarasan subsidi minyak sebagai sebahagian usaha memastikan Malaysia terus bertahan dalam menghadapi krisis kegawatan global.


Ketua Penerangannya, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, keputusan Kerajaan MADANI mengekalkan subsidi BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter seperti diumum Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mencerminkan iltizam untuk melindungi rakyat daripada dampak ekonomi semasa.


Pada masa sama jelasnya, penyelarasan had penggunaan RON95 bersubsidi kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 merupakan langkah perlu bagi menjamin bekalan bahan api negara kekal mencukupi dalam tempoh ketidaktentuan global.


"Langkah ini penting bagi memastikan bekalan minyak negara mencukupi untuk kegunaan pada jangka masa lebih panjang tergantung kepada penyelesaian konflik antarabangsa antara Amerika Syarikat, Iran dan laknatullah Israel," katanya dalam satu kenyataan.


Menerusi kenyataan sama, Saifuddin turut merakamkan penghargaan atas komitmen kerajaan untuk memperketat penguatkuasaan untuk membanteras aktiviti penyeludupan minyak di sempadan serta mengawal penyalahgunaan subsidi di stesen minyak dalam negara.


Bagaimanapun tegasnya, kerjasama erat antara kerajaan dan orang ramai amat penting bagi memastikan setiap aset kepunyaan rakyat tidak diselewengkan penyangak-penyangak subsidi yang sanggup melakukan apa sahaja demi keuntungan sekelip mata.


Sementara itu, beliau turut mengalu-alukan cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (WFH) secara berperingkat. Sambil menekankan agar mutu perkhidmatan awam terus terpelihara, beliau turut menyarankan agar sektor swasta turut memberikan sokongan kepada inisiatif tersebut.


"Dengan izin Allah SWT, pentadbiran YAB Perdana Menteri di peringkat Persekutuan bersama kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di peringkat negeri akan terus menggembleng tenaga bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan kekal berpaksikan kebajikan rakyat—sentiasa dipelihara, dihargai dan diutamakan tanpa sebarang kompromi.

"Sementara itu, semua pimpinan tempatan, khususnya lantikan politik pula perlu mempergiat usaha penerangan supaya maklumat berkaitan langkah dilaksana kerajaan dapat disampaikan secara jelas hingga ke peringkat akar umbi," katanya.


Mengakhiri kenyataannya, Saifuddin turut menyeru semua rakyat agar kekal bersedia dan berwaspada terhadap sebarang impak sementara susulan situasi global semasa di Asia Barat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page