top of page

Kuasa mesti dilihat sebagai amanah, bukan matlamat politik

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 1 day ago
  • 2 min read

Kuasa politik tidak seharusnya dilihat sebagai matlamat untuk memiliki kedudukan, sebaliknya satu amanah yang menuntut tanggungjawab kepada rakyat, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar (gambar).


Ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional KEADILAN 2026 di MITC, Melaka, beliau berkata kepimpinan parti perlu memastikan institusi lebih kukuh daripada individu, manakala undang-undang mesti melindungi semua rakyat tanpa mengira kedudukan atau nama.


"Dalam pimpinan ini bukan soal memiliki kuasa tetapi ia memelihara amanah. Kuasa datang dengan tanggungjawab dan institusi mesti lebih kuat daripada individu," katanya.


Menurut beliau, prinsip itu perlu menjadi sebahagian daripada cara KEADILAN bekerja, khususnya ketika parti bersiap menghadapi pilihan raya akan datang.


Nurul Izzah berkata, KEADILAN juga perlu melihat perjuangannya sebagai sebahagian daripada sejarah dan tamadun yang lebih besar, termasuk memelihara khazanah ilmu dan dakwah yang diwarisi untuk disampaikan kepada generasi akan datang.


Beliau menegaskan pencapaian ekonomi negara perlu diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dirasai rakyat, bukan sekadar dilihat melalui angka pertumbuhan.


Beliau berkata pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus pada suku kedua 2026, berbanding 5.4 peratus sebelum ini, menjadikan pertumbuhan separuh pertama tahun berkenaan pada kadar 5.7 peratus.


Katanya, pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh seharusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan, ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME), selain memberi peluang kepada wanita dan golongan muda menyertai ekonomi arus perdana.


Namun, Nurul Izzah mengingatkan bahawa membesarkan saiz ekonomi semata-mata tidak mencukupi tanpa memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil.


"Kalau saya boleh tambahlah, nak besarkan kek ekonomi ini bukanlah pengganti kepada keadilan pengagihan. Pengagihan perkembangan itu adalah asas kepadanya," katanya.


Beliau turut membangkitkan isu pendapatan pekerja, termasuk hakikat bahawa bahagian gaji yang dibawa pulang pekerja masih rendah walaupun produktiviti meningkat.


Sehubungan itu, beliau berharap penggal kedua pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat meneruskan reformasi struktural bagi membina struktur gaji yang lebih adil serta memastikan peningkatan upah bergerak seiring dengan produktiviti.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page