top of page

Krisis tenaga global: Selangor umum pakej kukuh daya tahan RM131 juta

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Apr 16
  • 2 min read

Updated: Apr 17

DS Amirudin (tengah)  mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor. Kredit foto: Fikri Yusof MS
DS Amirudin (tengah)  mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor. Kredit foto: Fikri Yusof MS

Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM131 juta sebagai langkah membantu rakyat dan industri dalam menghadapi kesan krisis bekalan tenaga global.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pakej yang dihasil melalui semakan belanjawan negeri merangkumi inisiatif memperkukuh jaminan bekalan makanan, mengurangkan kos sara hidup, mengawal inflasi serta meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.


"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengambil langkah ini kerana Perang di Asia Barat antara Amerika Syarikat dan Israel menentang Iran telah menyebabkan gangguan bekalan tenaga selepas Selat Hormuz terus disekat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Amirudin berkata walaupun konflik berakhir, pemulihan bekalan bahan mentah kritikal seperti minyak mentah, gas, baja, sulfur dan helium dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk kembali ke tahap sebelum perang.


Inisiatif utama pakej itu melibatkan program Jelajah Ehsan Rahmah, peningkatan stok makanan asas melalui Gudang Makanan Selangor serta pemberian Baucar Kita Selangor bernilai RM100 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 penerima.


Selain itu, kata Amirudin, Kerajaan Negeri memperkenalkan subsidi tambang pengangkutan awam, bantuan sarapan percuma di 873 sekolah, bantuan sektor pertanian kepada lebih 17,000 pengusaha serta pemerkasaan usahawan koperasi.


Kerajaan Negeri juga akan mengadakan sesi libat urus bersama industri utama seperti pembinaan, pembuatan, logistik dan perkhidmatan bagi menangani kesan krisis secara lebih menyeluruh, katanya.


Di samping itu, jelas Amirudin, usaha peralihan tenaga seperti penggunaan solar, teknologi simpanan bateri dan hidrogen turut akan dipercepatkan termasuk meningkatkan kecekapan tenaga di bangunan kerajaan.


Tambahnya Kerajaan Negeri turut menghargai usaha Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh subsidi bahan api dan sokongan kepada sektor pertanian.


"Kerajaan Negeri berterima kasih atas usaha Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan subsidi BUDI95 yang kini mencecah sehingga RM7 bilion, Budi Diesel yang ditingkatkan daripada RM300 kepada RM400, sokongan kepada komuniti pertanian, serta usaha lain yang merangkumi pengangkutan awam."


Beliau menegaskan pakej tersebut merupakan langkah persediaan awal di peringkat negeri bagi melengkapi dasar di peringkat Persekutuan, selain memastikan tindak balas yang lebih pantas terhadap sebarang perubahan situasi global.


"Kerajaan Negeri akan melaksanakan semakan aktif setiap dua minggu dibantu dengan Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga dengan melihat kepada perkembangan di Asia Barat, rantau Asia Tenggara serta berpandukan data bekalan tenaga dan barangan keperluan asas agar sebarang perubahan dapat ditangani secara proaktif menggunakan kemampuan di peringkat negeri," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page