Krisis tenaga global: Bekalan makanan cukup, giatkan hasil makanan sendiri
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 1 min read

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar), menyeru rakyat Malaysia agar tidak panik dalam menghadapi krisis tenaga global yang kini memberi kesan kepada seluruh dunia.
Beliau menegaskan bahawa dalam situasi peperangan di rantau Teluk, pendekatan yang tenang dan bijaksana dalam negara amat penting, selain menekankan keperluan kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat.
"Kita tidak boleh panik, sebaliknya perlu bertindak dengan tenang dan bijaksana. Kerajaan dan rakyat mesti bergerak seiring menghadapi cabaran ini," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, setakat ini bekalan makanan negara masih berada pada tahap mencukupi, namun semua pihak diingatkan agar tidak terlalu selesa dengan keadaan semasa.
"Alhamdulillah, bekalan makanan negara masih mencukupi buat masa ini. Namun, kita tidak boleh selesa," jelasnya.
Sehubungan itu, Mohamad Sabu menegaskan kepentingan mempergiatkan usaha meningkatkan pengeluaran makanan tempatan sebagai langkah strategik memperkukuh daya tahan negara.
"Inilah masa untuk kita tingkatkan daya tahan negara, kurangkan kebergantungan luar, dan pastikan sekuriti makanan terus terjamin," katanya.
Tambah beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan Malaysia kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan bekalan global yang semakin mencabar.




Comments