Kongres Nasional 2026: Fokus agenda reformasi, ekonomi, kukuhkan parti
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 3 min read

Kongres Nasional KEADILAN 2026 yang dijadual berlangsung minggu ini akan memberi tumpuan kepada agenda reformasi, pembangunan ekonomi dan pengukuhan parti, demikian kata Naib Presidennya Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata kepentingan kestabilan kerajaan serta masa depan parti turut akan diambil kira dalam setiap keputusan yang dibuat pada kongres berkenaan, dipetik laporan media tempatan.
"Setakat ini, usulnya sangat jelas… berkenaan dengan politik iaitu bagaimana mengangkat agenda reformasi, membangunkan ekonomi, pengukuhan parti selain ucapan dasar presiden," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Human Ecology International Conference II (HEIC-II) 2026 di Bangi hari ini.
Mengulas keputusan parti memberikan cuti sementara kepada Nurul Izzah Anwar daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden KEADILAN, Amirudin berkata perkara itu tidak akan menjejaskan perjalanan kongres berkenaan.
"Parti sudah pasti sedikit sebanyak akan terkesan tetapi kita mempunyai barisan kepimpinan yang kaliber untuk menanggung kerja tersebut dan parti telah memberikan amanah kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (menjalankan tugas Timbalan Presiden)," katanya.
Pada 6 Ogos lalu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN bersetuju memberikan cuti sementara kepada Nurul Izzah daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden parti bermula selepas Kongres Nasional KEADILAN 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Ditanya sama ada keputusan Nurul Izzah itu mengejutkan parti, Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya KEADILAN berkata spekulasi mengenai perkara berkenaan telah lama timbul dalam kalangan pemain politik.
"Saya rasa spekulasi sudah timbul lama oleh pemain-pemain politik dan saya dengar-dengar juga. Cuma itu baru dikemukakan sekarang dan beliau juga kena melihat masa dan kita kena hormati… sebab tiada guna kita memaksa beliau bila ada beberapa kekangan yang perlu ditangani secara peribadi," kata Ahli Parlimen Gombak itu.
Melaka menjadi tuan rumah Kongres Nasional KEADILAN 2026 yang akan berlangsung selama empat hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh bermula Khamis ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden KEADILAN dijadual merasmikan kongres berkenaan pada Sabtu (15 Ogos).
Sementara itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor dalam hantaran di Facebook berkata pendekatan ekologi manusia yang melihat pembangunan secara menyeluruh turut diterjemahkan dalam pentadbiran Selangor, dengan kekuatan ekonomi negeri perlu membawa kepada peningkatan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.
Beliau berkata pendekatan itu mengambil kira hubungan antara pelbagai aspek kehidupan rakyat termasuk pendidikan, kesihatan, pekerjaan, perumahan, pengangkutan, teknologi dan alam sekitar.
"Kekuatan ekonomi negeri bukanlah matlamat akhir, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik, peluang yang lebih luas serta persekitaran yang membolehkan rakyat dan keluarga berkembang maju," katanya.
Amirudin berkata pendekatan berkenaan turut menjadi asas kepada Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang menghubungkan pembangunan ekonomi dengan modal insan, kesejahteraan, daya tahan iklim serta tadbir urus berkesan.
Terdahulu beliau menyampaikan ucaptama bertajuk “From People to Policy: Sustaining Human Well-being in an Interconnected World” sempena HEIC-II 2026.
Sebagai alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), Amirudin berkata beliau berbesar hati dapat bersama warga akademik dan penyelidik dalam persidangan tiga hari itu yang menghimpunkan kepakaran dalam bidang Ekologi Manusia dari dalam dan luar negara.
Persidangan berkenaan turut menghimpunkan rakan akademik dari rantau ASEAN termasuk University of the Philippines Los Baños (UPLB) dan IPB University (Institut Pertanian Bogor), Indonesia.
Amirudin berkata kerjasama berkenaan penting bagi memperluas penyelidikan, pertukaran ilmu dan jaringan serantau, selain menghubungkan hasil penyelidikan dengan dasar serta keperluan sebenar masyarakat.
"Semoga persidangan ini terus menghubungkan penyelidikan dengan dasar, universiti dengan masyarakat dan ilmu dengan penyelesaian sebenar demi kesejahteraan rakyat," ujarnya.




Comments