Konflik Asia Barat: Selangor anjur mesyuarat khas selaras bantuan kepada rakyat
- Azuan Ab Rahman

- 1 day ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor bakal menganjurkan mesyuarat khas pada Jumaat ini bagi menyelaras pendekatan terbaik membantu rakyat negeri itu menghadapi ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat serta kesannya terhadap ekonomi negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) menerusi kenyataan pada Rabu berkata, mesyuarat akan memberi fokus khusus kepada golongan rentan, selain memastikan sokongan efektif kepada sektor industri.
Mesyuarat juga akan meneliti penubuhan pasukan petugas khas serta pelaksanaan mesyuarat berkala bagi memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.
"Dengan perang antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran masih berterusan, pagi ini saya telah memanggil Sidang Meja Bulat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi membincangkan krisis Timur Tengah serta implikasinya terhadap ekonomi dan rakyat Negeri Selangor.
"Sidang Khas ini menghimpunkan beberapa pakar ekonomi, geopolitik dan industri tenaga untuk berkongsikan analisa dan unjuran awal kesan perang ini bersama pentadbiran kerajaan Selangor," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut beliau menjelaskan, sesi meja bulat yang dipengerusikannya semalam sebagai menjadi platform awal dalam merangka gerak kerja serta kerangka kesiapsiagaan negeri menghadapi ketidaktentuan global memandangkan Selangor menyumbang 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Selain itu, ia sebahagian tindakan awal kerajaan negeri dalam menyokong langkah-langkah yang sedang digerakkan di peringkat Persekutuan.
"Sebarang kesan kepada Selangor akan memberi impak langsung kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhan.
"Pasukan negeri akan membuat persediaan rapi berasaskan fakta dan maklumat terkini bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berkesan kepada rakyat serta industri," tambahnya.




Comments