top of page

KJ jangan buat kenyataan keliru, beri peluru kepada lawan

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 9 hours ago
  • 1 min read

Khairi Jamaluddin (KJ) diingatkan supaya tidak membuat kenyataan semberono yang hanya menguntungkan pihak lawan khususnya Perikatan Nasional (PN).


Timbalan Setiausaha Wanita KEADILAN, Noraziah Mohd Razit (gambar) menerusi satu kenyataan mempersoalkan niat sebenar KJ apabila mendakwa UMNO lebih kuat dan kurang menerima kritikan berbanding parti lain seperti Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).


Menurut Noraziah, kenyataan tersebut bukan sahaja dianggap sengaja memberi peluru kepada pembangkang, malah turut menjejaskan imej parti yang dianggotainya sendiri.


"Kepulangan KJ ke gelanggang politik dilihat bukan untuk memperkukuh parti, tetapi melagakan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Ini satu tindakan yang hanya menguntungkan pihak lawan.


"Kenyataan beliau tidak akan menguatkan UMNO, sebaliknya akan menjadi liabiliti kepada parti itu. KJ dilihat sekadar mencari populariti untuk membina diri sendiri bukan untuk membina parti.


"Rakyat tidak lagi mudah terpedaya dengan permainan persepsi. Mereka menilai berdasarkan kerja, bukan kata-kata," katanya.


Noraziah juga Ketua Wanita KEADILAN Cabang Pasir Gudang turut menegaskan, serangan demi serangan terhadap Kerajaan bukan tanda kelemahan, sebaliknya bukti bahawa dasar dan hala tuju kerajaan memberi kesan dan mencabar naratif pihak lawan.


"Lihat apa yang telah dilakukan oleh menteri-menteri Kerajaan Perpaduan baik dari PH mahupun BN dalam pembaharuan dasar, penambahbaikan sistem, dan pendekatan lebih telus demi rakyat. Bukan retorik kosong, tetapi kerja sebenar.


"Malah ketika UMNO berdepan cabaran getir, KJ tidak pun bersama mereka di medan. Namun kini tampil memberi gambaran seolah-olah beliau pemain utama dalam menentukan hala tuju parti itu," tegasnya dalam kenyataan tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page