top of page

RM510 bilion bukan kabur, Fadhli Shaari gagal fahami pecahan belanjawan?

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
7 hours ago
2 min read
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof

Dakwaan Belanjawan 2027 sebagai belanjawan kabur, termasuk persoalan mengenai asal-usul angka RM510 bilion, disifatkan sebagai retorik politik oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tidak mengetahui sumber angka RM510 bilion dalam Belanjawan 2027.


Azli berkata, pecahan angka berkenaan sudah dinyatakan dalam pembentangan belanjawan dan tidak timbul persoalan bahawa jumlah itu muncul tanpa penjelasan.


"Pada saya, dakwaan ini tidak lebih dari sekadar retorik politik untuk menimbulkan keraguan. Hakikatnya beliau sendiri yang kabur. Atau tertanggal cermin mata," katanya dalam hantaran di Facebook.


Beliau menjelaskan, daripada jumlah RM510 bilion itu, sebanyak RM376.8 bilion diperuntukkan untuk Belanja Mengurus, manakala RM83 bilion lagi bagi Belanja Pembangunan.


Kedua-dua komponen itu menjadikan jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM459.8 bilion, manakala baki RM50.2 bilion merangkumi pelaburan melalui syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), kerjasama awam-swasta, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan.


"Apabila komponen-komponen ini digabungkan, jumlah keseluruhannya ialah RM510 bilion," katanya.


Azli berkata, penting untuk membezakan antara perbelanjaan langsung kerajaan dengan keseluruhan pelaburan yang digembleng melalui pelbagai saluran.


"RM510 bilion bukan bermaksud kerajaan Persekutuan membelanjakan keseluruhan jumlah itu secara langsung. Sebahagian daripadanya ialah pelaburan melalui saluran lain yang bertujuan merancakkan kegiatan ekonomi dan pembangunan negara," katanya.


Menurutnya, perbezaan kategori berkenaan perlu difahami supaya perbahasan mengenai belanjawan tidak mengelirukan rakyat.


Beliau berkata, pembangkang berhak mempersoalkan keutamaan perbelanjaan, kedudukan fiskal serta keberkesanan dasar kerajaan, malah semak dan imbang yang berkesan penting dalam sistem demokrasi.


Bagaimanapun, Azli menegaskan kritikan terhadap belanjawan perlu berasaskan fakta dan penelitian terhadap penjelasan yang telah diberikan.


"Namun, apabila pecahan angka telah dinyatakan, adalah tidak wajar untuk terus mendakwa angka itu tidak diketahui asal-usulnya tanpa meneliti penjelasan yang tersedia," katanya lagi.



Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page