Belanjawan 2027: Pastikan pesawah, petani, nelayan dapat manfaat sewajarnya - Yahya


Pesawah, petani dan nelayan merupakan penggerak utama keterjaminan makanan negara yang perlu diperkukuh melalui pelaksanaan berkesan inisiatif Belanjawan MADANI 2027, kata Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri.
Beliau berkata, keberkesanan belanjawan itu perlu dinilai berdasarkan keupayaannya meringankan beban rakyat, memperkukuh ekonomi akar umbi dan memastikan manfaat pembangunan benar-benar dirasai golongan yang menjadi tunjang sektor makanan negara.
Bagi pesawah, katanya, peruntukan bantuan RM2.62 bilion, peningkatan insentif penuaian padi kepada RM100 sehektar semusim serta RM20 juta bagi pemulihan tanah sawah merupakan langkah penting untuk menangani kos pengeluaran dan meningkatkan produktiviti.
Manakala petani dan pekebun kecil dijangka mendapat manfaat daripada peruntukan RM100 juta bagi pembaikan jalan ladang, kemudahan pembiayaan serta sokongan penggunaan teknologi moden.
"Saya menegaskan bahawa pesawah, petani dan nelayan bukan sekadar penerima bantuan, tetapi penggerak utama keterjaminan makanan negara.

"Peniaga kecil pula merupakan nadi ekonomi setempat yang menyediakan peluang pekerjaan dan menyokong kehidupan masyarakat.
"Oleh itu, keberkesanan Belanjawan 2027 perlu dipantau melalui petunjuk yang jelas, termasuk peningkatan pendapatan bersih, pengurangan kos pengeluaran, kestabilan harga hasil dan kelangsungan perniagaan kecil," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi sektor perikanan, beliau berkata peluasan lesen sampan khas kepada 20,000 nelayan, pengekalan diesel bersubsidi pada kadar RM1.65 seliter bagi nelayan yang layak serta bantuan berkaitan hasil tangkapan dan elaun sara hidup perlu disusuli penyampaian bantuan yang cekap dan bersasar.
"Peruntukan sahaja tidak memadai tanpa pelaksanaan yang berkesan. Kerajaan perlu memastikan proses permohonan tidak membebankan, bantuan sampai kepada penerima yang layak dan kemudahan pembiayaan tidak menjadi beban hutang yang menjejaskan kelangsungan perniagaan," katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan sokongan kepada peniaga kecil melalui peningkatan kemudahan pembiayaan dan jaminan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada RM57 bilion serta pengurangan kadar cukai bagi perusahaan yang layak.
Katanya, kemudahan itu berpotensi membantu peniaga mengukuhkan modal perniagaan, meningkatkan daya saing dan memperluas pasaran.
Justeru itu, katanya, matlamat akhirnya ialah memastikan pengeluaran makanan negara lebih kukuh, pendapatan rakyat lebih terjamin dan ekonomi akar umbi terus berkembang.




Comments