top of page

Peningkatan gaji perlu seiring kawalan kos sara hidup - AMK Bukit Mertajam

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
34 minutes ago
3 min read
Timbalan Pengerusi Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan AMK Malaysia, Abshar Nurasyraf Amram
Timbalan Pengerusi Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan AMK Malaysia, Abshar Nurasyraf Amram

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Bukit Mertajam menyokong Belanjawan MADANI 2027, namun menegaskan kenaikan pendapatan rakyat perlu disertai langkah berkesan mengawal kos sara hidup bagi memastikan peningkatan gaji benar-benar meningkatkan kuasa beli.


Timbalan Pengerusi Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan AMK Malaysia, Abshar Nurasyraf Amram berkata belanjawan yang baik bukan sahaja perlu merangsang pertumbuhan ekonomi, malah memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara langsung oleh pekerja bawahan, keluarga berpendapatan rendah dan golongan muda.


Beliau berkata, pihaknya menyambut baik kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 yang disifatkan sebagai langkah penting meningkatkan pendapatan pekerja.


"Walau bagaimanapun, peningkatan gaji perlu disokong oleh langkah berterusan dalam usaha untuk mengawal inflasi, mengekang kenaikan harga barangan keperluan dan memastikan kuasa beli rakyat terus terpelihara," katanya dalam satu kenyataan.


Menurutnya, kenaikan pendapatan tidak akan memberikan kesan optimum sekiranya sebahagian besar wang itu terus dibebani kos makanan, perumahan, pengangkutan dan keperluan harian yang semakin meningkat.


Oleh itu, beliau yang juga Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang

berharap pelaksanaan dasar berkaitan gaji diselaraskan dengan pemantauan harga yang berkesan serta tindakan sewajarnya terhadap amalan pencatutan supaya rakyat benar-benar menikmati peningkatan taraf hidup.


Dalam pada itu, AMK Bukit Mertajam turut menyambut baik peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion pada 2027 berbanding RM15 bilion pada tahun sebelumnya.


Abshar berkata, bantuan bersasar itu penting untuk membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi tekanan kos sara hidup, namun pelaksanaannya perlu cekap, mudah diakses dan sampai kepada penerima yang benar-benar layak.


Beliau turut menyambut baik inisiatif Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM20 bilion, berpotensi membantu kira-kira 80,000 pembeli rumah pertama.


Katanya, akses pembiayaan perumahan perlu disertai penawaran rumah yang sesuai, harga munasabah serta lokasi yang mengambil kira kemudahan pengangkutan dan peluang pekerjaan, khususnya bagi golongan muda.


Dana pelaburan strategik RM100 juta


Bagi Pulau Pinang, beliau melihat dana strategik pelaburan RM100 juta melalui kerjasama Khazanah Nasional dan InvestPenang untuk menyokong syarikat pemula dalam sektor semikonduktor dan pembuatan termaju sebagai peluang memperkukuh ekonomi bernilai tinggi negeri itu.


"AMK Bukit Mertajam berharap peluang pelaburan ini dapat diterjemahkan kepada pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan bakat tempatan dan peluang yang lebih luas kepada anak muda Pulau Pinang untuk membina kerjaya tanpa perlu berhijrah semata-mata bagi mendapatkan pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan mereka," katanya.


Dalam aspek pembangunan tenaga kerja, beliau turut menyokong sasaran 30,000 peluang pekerjaan baharu melalui Bakat MADANI 2027, peruntukan RM8 bilion bagi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) serta peluasan latihan kemahiran melalui HRD Corp.


Menurutnya, inisiatif berkenaan perlu membuka laluan kerjaya kepada graduan dan anak muda daripada pelbagai latar belakang pendidikan, selain menawarkan pekerjaan berkualiti, pendapatan munasabah, perlindungan sosial dan prospek kerjaya yang jelas.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Bukit Mertajam itu turut menggesa kerajaan meneruskan perhatian terhadap kebajikan doktor kontrak, termasuk laluan kerjaya, penempatan dan jaminan masa depan mereka melalui dialog bersama pihak berkepentingan.


"Keberkesanan sesebuah belanjawan akhirnya perlu dinilai berdasarkan hasil pelaksanaannya. Peningkatan gaji mesti benar-benar meningkatkan kuasa beli, bantuan mesti sampai kepada golongan yang memerlukan, peluang pekerjaan mesti menawarkan masa depan yang lebih terjamin, dan anak muda mesti mempunyai ruang yang adil untuk membina kehidupan," katanya.


Abshar berkata, AMK Bukit Mertajam akan terus menyokong dasar yang membawa manfaat kepada rakyat, selain menyuarakan pandangan secara konstruktif bagi memastikan agenda pembangunan negara kekal berpaksikan keperluan golongan rentan.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page