Belanjawan 2027: Inisiatif perkasa wanita, ekonomi penjagaan, disambut baik


Wanita KEADILAN menyatakan sokongan terhadap Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya inisiatif pemerkasaan wanita yang disifatkan berpotensi meningkatkan kesejahteraan keluarga dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat, Datuk Ginie Lim, berkata penambahbaikan kelayakan cuti bersalin penjawat awam, pusat penjagaan kanak-kanak serta peluasan pelepasan cukai berkaitan penjagaan selepas bersalin amat disambut baik.
"Antara inisiatif yang dialu-alukan termasuk peningkatan kelayakan cuti bersalin penjawat awam, penambahbaikan pusat penjagaan kanak-kanak, peluasan pelepasan cukai berkaitan penjagaan selepas bersalin dan keluarga, serta latihan kepada 6,000 pengasuh kanak-kanak dan 8,000 tenaga kerja penjagaan warga emas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Geran Sejahtera MADANI yang menyasarkan 40,000 penerima pula, khususnya wanita mampu membuka lebih banyak peluang menjana pendapatan.
Selain itu, peluasan Dasar Peluang Kedua Prihatin kepada penjaga utama ahli keluarga orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik, warga emas, pekerja gig dan golongan berpendapatan tidak tetap dilihat dapat membantu memperkukuh perlindungan kewangan kumpulan berkenaan.
"Inisiatif ekonomi penjagaan ini mencerminkan usaha gigih kerajaan menangani cabaran struktur yang dihadapi wanita dan keluarga, bukan sekadar menyediakan bantuan, bagi mengurangkan beban penjagaan tanpa gaji dan membolehkan wanita meneruskan kerjaya," katanya.
Ginie berkata, Wanita KEADILAN turut menghormati pandangan masyarakat sivil, khususnya berkaitan isu keganasan berasaskan jantina, penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan beban penjagaan tanpa gaji.
Katanya, pandangan berkenaan penting bagi memperkukuh pelaksanaan dasar yang responsif gender serta memastikan keperluan wanita dan keluarga diberi perhatian dalam perancangan pembangunan negara.
Beliau turut menyambut baik penegasan Perdana Menteri bahawa belanjawan negara merupakan suatu pernyataan moral dan tanggungjawab kerajaan.
"Wanita KEADILAN yakin bahawa setiap peruntukan akan diurus dan dilaksanakan secara telus dan berintegriti agar manfaat Belanjawan 2027 dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya lagi.




Comments