Malaysia jadi pusat ilmuan Islam dunia di bawah Anwar


Saya melihat perkembangan ini sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha kepimpinan PMX dan Kerajaan MADANI dalam mengangkat martabat Islam melalui pendekatan ilmu, hikmah, kesederhanaan dan keterbukaan intelektual - Yahya
Empat tahun di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia kembali menyerlah sebagai medan pertemuan ulama, ilmuwan dan pemikir Islam dunia.
Bagi Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri, perkembangan itu sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha mengangkat martabat negara sebagai pusat keilmuan Islam antarabangsa.
"Kehadiran tokoh-tokoh besar dunia Islam seperti Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS), Syeikh Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qaradhaghi, Menteri Wakaf Mesir, Sheikh Prof Dr Usamah al-Sayyid al-Azhari serta Mufti Besar India, Sheikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari, membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar kunjungan rasmi atau penganjuran majlis keagamaan.
"Lebih 10,000 peserta bersama 40 ulama antarabangsa dan tempatan yang berhimpun dalam Majlis Khatam Sama' Hadis Antarabangsa 2026 di Masjid Putra, Putrajaya membuktikan bahawa Malaysia mempunyai kemampuan untuk menjadi pusat pengembangan ilmu, wacana dan tradisi keilmuan Islam di peringkat antarabangsa.
"Saya melihat perkembangan ini sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha kepimpinan PMX dan Kerajaan MADANI dalam mengangkat martabat Islam melalui pendekatan ilmu, hikmah, kesederhanaan dan keterbukaan intelektual," katanya menerusi satu kenyataan.
Mohd Yahya berkata, Malaysia juga tidak seharusnya hanya dikenali sebagai negara Islam yang stabil, tetapi mesti berani tampil sebagai negara yang menyumbang kepada pemikiran, penyelesaian dan masa depan dunia Islam.

Ujar beliau, dalam suasana umat Islam berhadapan konflik geopolitik, perpecahan, Islamofobia serta cabaran kemanusiaan sejagat, Malaysia dilihat mempunyai peluang untuk memainkan peranan lebih besar sebagai jambatan dialog, perpaduan ummah dan diplomasi Islam.
"Kita juga melihat bagaimana kepimpinan PMX memberikan perhatian kepada pembangunan ilmu Islam yang bukan sekadar berkisar soal ibadah dan ritual, tetapi turut merangkumi kewangan Islam, ekonomi beretika, keadilan sosial, pendidikan serta cabaran teknologi dan kehidupan moden.
"Pada masa yang sama, prestasi ekonomi negara yang menunjukkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.5% pada suku ketiga 2026, kadar pengangguran 2.9% dan inflasi yang terkawal merupakan perkembangan positif yang perlu terus diperkukuh agar manfaat pembangunan benar-benar dirasai rakyat.
"Namun, saya ingin menegaskan bahawa pengiktirafan antarabangsa tidak boleh menjadikan Kerajaan MADANI berasa selesa. Reformasi institusi, pembanterasan rasuah tanpa pilih kasih, peningkatan pendapatan rakyat dan penyelesaian kos sara hidup mesti terus menjadi keutamaan.
"Kepimpinan yang kuat bukan hanya diukur melalui penghormatan yang diterima di luar negara, tetapi melalui keadilan, integriti dan kesejahteraan yang dinikmati rakyat dalam negara," katanya lagi.
Jaringan ilmu sedunia
Dalam kenyataan sama, beliau menegaskan bahawa usaha PMX mengangkat Malaysia sebagai pusat keilmuan Islam antarabangsa adalah sesuatu wajar disokong dan diperkasakan.
Katanya, kejayaan membina jaringan ilmu dan hubungan antarabangsa itu tidak seharusnya diperkecilkan hanya kerana perbezaan politik.
"Islam ialah agama ilmu, keadilan dan rahmah. Justeru, usaha memartabatkan Islam mesti dilaksanakan dengan kefahaman yang mendalam, menghormati tradisi keilmuan serta menjunjung prinsip keadilan kepada semua.
"Empat tahun pertama merupakan fasa membina asas. Kini, Malaysia perlu melangkah lebih jauh dengan menjadikan pengiktirafan antarabangsa sebagai kekuatan untuk membina negara yang lebih maju, berintegriti dan sejahtera.
"Saya percaya Malaysia MADANI mempunyai ruang untuk muncul sebagai suara penting dunia Islam, bukan melalui retorik, tetapi melalui kekuatan ilmu, keteguhan prinsip, keadilan dan keberanian membawa perubahan.
"Tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar dan seluruh jentera Kerajaan MADANI atas usaha memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa," ujar Yahya lagi.




Comments