Pelajaran Besar Daripada Persahabatan Saya Dengan Pak Samad


Oleh: Zunar
Kita kehilangan tokoh seni sastera, pejuang rakyat, cendekiawan yang tidak membeza-bezakan manusia mengikut kaum dan agama
JAM 6.10 petang, 24 November 2026, negara menerima khabar duka apabila Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr. A. Samad Said (Pak Samad) meninggal dunia. Dengan berita ini, negara kehilangan seorang sosok misali yang bukan kepalang nilainya.
Sepanjang hayat dan kerjaya penulisannya, Allahyarham telah menerima pelbagai anugerah berprestij di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ini termasuklah gelaran Sasterawan Negara, Anugerah Pejuang Sastera (1976), Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award, 1979) dan banyak lagi seumpamanya. Banyak sekali jasa Allahyarham kepada dunia seni, dan saya percaya telah banyak diperkatakan. Dalam catatan ini, saya ingin menumpukan skop kepada kisah yang dekat dengan diri saya sahaja.
Program seni dan reformasi
Persahabatan saya dengan Pak Samad bermula sejak tahun 2000, apabila kami banyak terlibat dalam program-program kesenian dan reformasi. Sejak itu, kami menjadi rapat. Beliau sering diundang untuk merasmikan peluncuran buku-buku saya dan beliau tidak pernah menolak.
Kali terakhir adalah apabila beliau bersedia hadir ke peluncuran buku saya, Melukis Dengan Hati yang diadakan di Shah Alam pada Julai 2025, walaupun sudah uzur. Beliau juga sentiasa memberi sokongan kepada kumpulan kami, Kumpulan Kartunis Independen (KKi).
Oleh sebab beliau tidak mempunyai kenderaan, saya dan isteri, Fazlina, selalu mengambil dan menghantar Pak Samad serta isterinya, Datin Shida, pulang ke kediaman mereka di Bangsar setiap kali beliau hadir ke program kami.
Kekaguman saya terhadap Pak Samad berpunca daripada beberapa keperibadiannya yang jarang-jarang saya temui pada tokoh-tokoh lain. Pertama, meskipun telah mencapai kejayaan gemilang dan bergelar Sasterawan Negara, beliau tetap merendah diri serta berpakaian sederhana. Beliau juga bertutur dengan lembut dan sangat menghormati orang lain. Beliau sama sekali tidak membeza-bezakan manusia berdasarkan kedudukan. Malah, beliau pernah makan nasi bungkus bersama-sama kami, ahli-ahli KKi di pejabat saya.
Kedua, Pak Samad saya jadikan contoh teladan kerana beliau menolak untuk membeza-bezakan manusia berdasarkan agama dan kaum. Bagi beliau, semua manusia sama sahaja di sisi Tuhan. Sifat inilah yang jarang-jarang saya lihat ada pada cendekiawan Melayu atau Islam yang lain.
Sentiasa bersama rakyat
Ketiga, sebagai seorang seniman dan sasterawan, beliau sentiasa bersama-sama gerakan rakyat. Beliau juga tidak gentar akan risiko apabila memperjuangkan apa-apa yang diyakininya. Pernah berlaku, apabila beliau mengetuai Bersih, banyak suara yang mendesak supaya gelaran Datuknya ditarik balik. Beliau menjawab, "Silakan." Kenyataan sebegini benar-benar luar biasa dan saya catat dengan pena yang besar sebagai pelajaran penting untuk saya jadikan panduan.
Disebabkan keterlibatan beliau dalam gerakan rakyat yang mahukan reformasi, beliau pernah menceritakan suatu ketika dahulu beliau menahan teksi, namun apabila pemandu teksi tersebut mendekat dan mengecam wajah Pak Samad, pemandu itu terus memecut laju dan enggan mengambil beliau. Selain itu, banyak lagi perkongsian antara kami yang tidak memungkinkan saya mencoretkannya dalam ruang yang terbatas ini.

Sebagai tambahan coretan kecil, pada tahun 2016 (Nota: Sila semak semula tahun pertemuan Kofi Annan), selepas saya pulang dari Geneva, Pak Samad secara berseloroh berkata kepada saya, "Saya cemburu kepada Zunar kerana dapat bertemu dengan Kofi Annan."
Beliau juga pernah memberi komen sokongan apabila berlaku isu saya dengan Menteri Komunikasi ketika itu, apabila saya dituduh mensabotaj ekonomi negara (Lihat gambar atas). Pernah juga atas dasar ingin tahu, saya bertanya apakah maksud di sebalik tandatangan beliau dan beliau menjawab dengan memberikan sekeping nota kepada saya (Lihat gambar bawah).

Dengan pemergian Pak Samad, kita kehilangan seorang tokoh seni sastera, seorang pejuang rakyat dan seorang cendekiawan yang tidak membeza-bezakan manusia mengikut kaum serta agama. Hal inilah yang membuatkan kesedihan saya begitu mendalam. Al-Fatihah.
Semoga roh Pak Samad dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama-sama roh orang yang beriman. Amin. Takziah diucapkan buat Datin Shida, Helmy dan seisi keluarga




Comments