Penipuan dalam talian: 75 ribu ditangkap, 69 ribu pertuduhan dalam 3 tahun


Daripada enam itu, yang paling tinggi kita rekodkan ialah jenayah telekomunikasi, 73,043 kes melibatkan kerugian RM2.132 bilion. Yang kedua paling tinggi ialah jenayah e-dagang, 50,749 kes
Kerajaan mempergiat usaha membanteras penipuan dalam talian menerusi mekanisme pembekuan akaun dan pengesanan transaksi mencurigakan dalam tempoh kritikal 'Golden Hour' bagi menyelamatkan wang mangsa sebelum dipindahkan oleh sindiket.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi tempoh 2023 hingga Oktober 2026, sebanyak 192,869 kes penipuan dalam talian direkodkan dengan kerugian mencecah RM7.33 bilion, selain 75,266 individu ditangkap dan 69,665 pertuduhan dibuat.
Dalam tempoh sama ujarnya, sebanyak 254,546 akaun keldai dikesan, dengan 137,699 daripadanya telah dituduh.
"Ada enam modus operandi penipuan dalam talian iaitu pertama jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, 'love scam', jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud dan yang keenam ialah pelaburan tidak wujud.
"Daripada enam itu, yang paling tinggi kita rekodkan ialah jenayah telekomunikasi, 73,043 kes melibatkan kerugian RM2.132 bilion. Yang kedua paling tinggi ialah jenayah e-dagang, 50,749 kes.
"Itu paling tinggi dari segi jumlah kes, tetapi dari segi nilai kerugian, kalau e-dagang cuma RM509 juta. Ketiga paling tinggi ini adalah pelaburan tidak wujud dengan 27,863 kes. Yang ini, nilai kerugian dari segi ringgit adalah RM3.4 bilion," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan V Ganabatirau (PH-Klang) yang ingin tahu perkembangan terkini usaha Kerajaan membanteras penipuan dalam talian dan akaun keldai, termasuk jumlah kerugian rakyat sejak 2023, jumlah wang berjaya dibekukan atau dipulangkan, kadar pendakwaan serta langkah mempercepat pembekuan transaksi mencurigakan sebelum wang dipindahkan keluar negara.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, tindakan segera mangsa menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 amat penting bagi membolehkan polis menyemak transaksi melalui National Fraud Portal di bawah Bank Negara Malaysia, sebelum akaun mangsa dan suspek ditandakan atau disekat dalam tempoh kritikal yang dikenali sebagai Golden Hour.
Katanya, peningkatan kesedaran masyarakat turut menyaksikan jumlah panggilan kepada NSRC meningkat kepada 30,000 sepanjang Oktober lalu berbanding hanya 300 hingga 400 panggilan sehari sebelum pelaksanaan NSRC dan talian 997.
"Kalau kita nak selamatkan, dalam masa inilah kita nak selamatkan. Sebab itu, panggilan pertama mangsa sangat penting. Panggilan pertama mangsa akan membolehkan dia masuk dalam sistem polis.
"Kemudian polis akan semak pula dengan satu sistem di bawah Bank Negara yang kita panggil National Fraud Portal. Di sinilah kita akan 'earmark' atau sekat akaun mangsa dan akaun suspek. Ini kita panggil 'Golden Hour'.
"Kalau sempurna di sini, kita boleh 'earmark' dan kita boleh selamatkan. Kalau kita terlepas 'Golden' Hour ini, sukar untuk kita kesan," ujarnya lagi.




Comments