top of page

Timbalan Exco: Rakyat tanya kos, Rauf suruh buat kajian? – Eddiarman

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
2 min read

Tindakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang meminta pihak yang mempertikaikan pelantikan Timbalan Exco di negeri itu supaya membuat kajian terlebih dahulu, ditempelak.


Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos pihak Kerajaan Negeri sepatutnya menjelaskan kos tersebut, bukannya rakyat perlu mengkaji.


Katanya, penjelasan Rauf bahawa jawatan itu sudah diwujudkan pada penggal terdahulu, tidak melibatkan perbelanjaan besar serta mampu meningkatkan keberkesanan pentadbiran masih belum menjawab persoalan mengenai penggunaan wang awam.


"Apabila timbul persoalan tentang keperluan dan kos sesuatu pelantikan, kerajaan sepatutnya membentangkan penjelasan. Bukannya menyuruh orang yang bertanya pulang membuat kajian.


"Kerajaan yang melantik. Kerajaan yang memegang maklumat. Rakyat pula disuruh buat kerja rumah untuk kajian?" katanya dalam kenyataan.


Eddiarman berkata, alasan jawatan berkenaan pernah diwujudkan sebelum ini juga tidak seharusnya dijadikan sandaran mutlak untuk mempertahankan pelantikan baharu kerana setiap keputusan pentadbiran perlu dinilai dari segi keberkesanan dan keperluannya.


Katanya, dakwaan perbelanjaan tidak besar perlu disertakan angka terperinci bagi membolehkan rakyat menilai implikasi kewangan pelantikan itu.


"Berapakah jumlah elaun, kemudahan dan kos sokongan yang diperuntukkan? Apakah pertambahan kos berbanding struktur sebelumnya? Apakah hasil tambahan yang dijangka diterima rakyat?


"‘Tidak besar’ itu penilaian Ketua Menteri, akan tetapi yang dibelanjakan itu tetap wang rakyat," katanya.


Beliau bagaimanapun menegaskan tidak membuat kesimpulan bahawa setiap pelantikan Timbalan Exco merupakan pembaziran, sebaliknya kerajaan perlu membuktikan keperluannya melalui pembahagian tugas jelas, sasaran prestasi dan hasil yang boleh dinilai.


Menurutnya, alasan kesibukan anggota Exco dengan pelbagai perancangan juga tidak mencukupi untuk membenarkan pertambahan struktur pentadbiran sekiranya tiada bukti peningkatan mutu perkhidmatan kepada rakyat.


"Yang rakyat mahu tahu ialah sama ada urusan mereka lebih cepat selesai, aduan mendapat tindakan dan masalah setempat ditangani dengan berkesan atau tidak.


"Kalau jawatan bertambah tetapi rakyat masih perlu berulang kali mengejar jawapan, maka lapisan pentadbiran yang dicipta ini nampaknya mungkin hanya satu pembaziran," katanya.


Sehubungan itu, Eddiarman menggesa kerajaan negeri menerbitkan pecahan kos pelantikan Timbalan Exco, menjelaskan sempadan tugas antara Exco dengan Timbalan Exco serta mengumumkan sasaran prestasi yang boleh dinilai rakyat.


Katanya, jika kerajaan yakin struktur berkenaan mampu meningkatkan kecekapan pentadbiran, penjelasan mengenai cadangan dan perkiraan pelantikan itu sewajarnya dibentangkan secara terbuka.


"Kerajaan tidak boleh sekadar yakin dengan susunannya sendiri; kerajaan mesti meyakinkan rakyat yang membiayainya.


"Melaka memerlukan pentadbiran yang cekap dan berhemat. Keborosan mesti dicegah sebelum menjadi kebiasaan, bukan dipertahankan kemudian dengan alasan ‘penggal dulu pun buat’.


"Rakyat bertanya kerana mereka berhak tahu. Ketua Menteri pula wajib menjawab kerana beliau perlu bertanggungjawab," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page