top of page

Belia Asia bentuk masa depan AI, bukan sekadar jadi pengguna - Nabil

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
1 hour ago
2 min read
Nabil menyampaikan ucapan pembukaan Asia Youth Leadership Forum di Hangzhou, China
Nabil menyampaikan ucapan pembukaan Asia Youth Leadership Forum di Hangzhou, China

Kerjasama Malaysia-China yang bermakna perlu melangkaui pemindahan teknologi sebaliknya turut memberi tumpuan kepada pemindahan kemahiran dan ilmu secara langsung kepada golongan belia tempatan - Nabil

Golongan belia Asia perlu memainkan peranan aktif membentuk hala tuju perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dengan tidak sekadar menjadi pengguna atau menerima perubahan yang berlaku tanpa persediaan.


Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat Nabil Halimi berkata, perkembangan AI perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin kepada pembentukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, usahawan dan inovator muda.


"Dasar awam yang jelas serta akses pendidikan mampu memastikan kemajuan teknologi membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda meskipun AI berpotensi mengautomasikan sebahagian pekerjaan yang sebelum ini menjadi laluan permulaan kerjaya.


"Kita mesti memainkan peranan aktif dalam membentuk peralihan ini, bukan sekadar bertindak balas terhadap perubahan yang berlaku," katanya dalam ucapan pembukaan Asia Youth Leadership Forum di Hangzhou, China.


Nabil yang juga Ketua AMK Petaling Jaya berkata kemajuan ekonomi pada masa ini perlu dinilai bukan semata-mata berdasarkan pencapaian teknologi tetapi juga keupayaan dan peluang yang diwujudkan untuk masyarakat khususnya golongan muda.


Beliau berkata prinsip akal budi dalam tradisi Melayu yang menggabungkan pemikiran rasional dengan kebijaksanaan moral serta konsep Ren dalam pemikiran konfusianisme yang menekankan kemanusiaan dan tanggungjawab menjadi asas penting dalam memastikan kemajuan membawa manfaat kepada masyarakat.


"Ilmu dan kemajuan hanya memperoleh makna sebenar melalui manfaat yang dibawanya kepada orang lain," katanya.


Nabil berkata yang juga Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya berkata kerjasama serantau menerusi inisiatif Laluan Sutera Digital (Digital Silk Road) membuka peluang lebih besar untuk menghubungkan bukan sahaja pelabuhan dan pasaran, malah saintis muda, pelajar serta inovator dari seluruh Asia.


Beliau turut menyifatkan kerjasama Malaysia-China perlu melangkaui pemindahan teknologi sebaliknya memberi penekanan kepada pemindahan kemahiran dan pengetahuan kepada belia tempatan.


Jelas beliau, Malaysia mempunyai kekuatan dalam ekosistem semikonduktor dan infrastruktur digital dengan pelaburan berkaitan pusat data berjumlah RM385.7 bilion bagi tempoh 2021 hingga separuh pertama 2026.


"Pelaburan modal hanyalah asas manakala bakat manusia merupakan pengganda sebenar kepada kemajuan.


"Kerjasama Malaysia-China yang bermakna perlu melangkaui pemindahan teknologi sebaliknya turut memberi tumpuan kepada pemindahan kemahiran dan ilmu secara langsung kepada golongan belia tempatan," katanya.


Beliau turut mencadangkan penubuhan Asian Youth AI Innovation Network bagi menghubungkan organisasi belia, universiti dan perusahaan di seluruh Asia melalui program pertukaran, latihan perantisan serta penyelidikan bersama.


Menurutnya kemajuan teknologi di Asia tidak seharusnya didorong persaingan yang menguntungkan satu pihak semata-mata sebaliknya perlu berasaskan kerjasama dan perkongsian ilmu bagi memastikan negara serta generasi muda rantau ini berkembang bersama.


"Keajaiban ekonomi Asia yang akan datang tidak seharusnya berlaku di sekeliling generasi kita semata-mata sebaliknya mesti dibina oleh kita sendiri bersama-sama dengan nilai kemanusiaan sebagai terasnya," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page