top of page

Pak Samad: Dari Medan Seni ke Medan Aktivisme

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
43 minutes ago
3 min read
Tinggal kenangan ..... Andre Lai (kiri) bersama Pak Samad
Tinggal kenangan ..... Andre Lai (kiri) bersama Pak Samad

Oleh: Andre Lai Chen Heng


Selamat Jalan, Uncle


Ramai yang mengenali beliau sebagai Datuk, Datuk Seri, Pak Samad, atau Sasterawan Negara. Namun bagi saya, beliau tetap mesra dipanggil Uncle. Hubungan ini bermula sejak zaman remaja lagi, apabila anak beliau, Az, menjadi sahabat baik saya di bangku sekolah.


Sebenarnya, sosok legenda ini sudah terpahat dalam ingatan sejak saya kecil. Di Pekan Ampang dahulu, sering kelihatan kelibat seorang lelaki berambut panjang dan berkaca mata bulat berjalan ke hulu ke hilir sambil membawa sebuah beg dan sekaki payung. Imej ringkas itu kekal segar dalam ingatan saya hingga ke hari ini.


Sewaktu di sekolah menengah, rumah beliau di Taman Halaman, Ampang menjadi tempat kami berkumpul dan bersembang. Selepas tamat persekolahan, setiap kali tiba Hari Raya, agak kerap juga saya singgah menziarahi keluarga beliau di Bangsar. Di mana pun beliau berpindah atau menetap, rak-rak buku pasti memenuhi segenap ruang rumah.


Apabila rumah sudah semakin padat dengan buku, pertemuan kami beralih ke luar, terutamanya di kedai buku Kinokuniya KLCC, sebelum menyambung perbualan santai di San Francisco Coffee House di tingkat satu.


Jiwa seni tulen


Jiwa seni beliau yang tulen turut mendorong beliau turun ke medan aktivisme. Daripada membela nasib artis rakaman lelaki berambut panjang suatu ketika dahulu, sehinggalah turun bersama gerakan BERSIH, semuanya membuktikan sifat beliau yang berani kerana benar memperjuangkan keadilan. Di penghujung perjalanan seninya pula, beliau lebih banyak menumpukan perhatian menghasilkan kaligrafi tulisan khat.


Semalam, berita pemergian beliau mula tersebar dalam kalangan rakan-rakan sastera dan politik. Saya sempat ke hospital menziarahi beliau pada sebelah petang. Tidak disangka, tepat jam 6 petang, beliau menghembuskan nafas terakhir. Dalam rasa hiba, sempat juga saya bergegas ke masjid.


Malam tadi, saya turut bersama-sama mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menziarahi jenazah beliau. Ramai tokoh sastera dan seni yang hadir malam itu. Saya sendiri bukanlah orang seni, namun kehadiran saya di situ adalah sebagai seorang sahabat kepada keluarga. Kehadiran semua pada malam tadi cukup simbolik, menggambarkan betapa besarnya pengaruh serta penghormatan terhadap beliau.


24 November yang menyentuh hati


Tarikh 24 November ini menyimpan pertalian sejarah yang cukup menyentuh hati. Selain menjadi detik bersejarah pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri serta ulang tahun ke-4 pembentukan Kerajaan Perpaduan. Tarikh yang sama pada tahun 2022 juga merupakan hari pemergian seorang lagi tokoh yang disegani, Almarhum Haji Ishak Surin.

DS Anwar, Dr Tan dan Andre Lai menziarahi Allahyarham Cikgu Ishak sebelum PRU 2022
DS Anwar, Dr Tan dan Andre Lai menziarahi Allahyarham Cikgu Ishak sebelum PRU 2022

Kedua-dua figura ini, Pak Samad dan Almarhum Haji Ishak Surin, merupakan kenalan lama. Madrasah Tarbiyah di Kampung Banda Dalam, Jalan Gombak yang diasaskan oleh Almarhum Haji Ishak Surin dahulu juga sering mengadakan program-program seni yang melibatkan Pak Samad. Tidak disangka kedua-dua sahabat lama ini pergi pada tarikh yang sama, tepat empat tahun berselang.


Dalam hantaran media sosial saya ini, saya cuma memuat naik sekeping gambar buku. Naskhah buku kanak-kanak berjudul Charlotte's Web ini ialah hadiah pemberian beliau kepada anak saya sewaktu usianya sekitar 8 atau 9 tahun dahulu, dan kini anak saya sudah pun berusia 20 tahun. Buku ini sangat istimewa kerana ditandatangani oleh Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said sendiri.


Hari ini, sastera Melayu kehilangan seorang tokoh besar. Karya seperti Salina dan Cinta Fansuri akan terus hidup menjadi inspirasi kesusasteraan Melayu, selagi ada Melayu di Nusantara. Bagi saya secara peribadi, pemergian ini adalah kehilangan sebuah coretan memori yang amat bermakna.


Selamat jalan, Uncle.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page