Kuasai AI tanpa korbankan akhlak, nilai kemanusiaan - PM


Penguasaan kecerdasan buatan (AI) perlu menjadi keutamaan negara bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam persaingan teknologi global namun kemajuan itu mesti berpaksikan nilai agama, akhlak dan kemanusiaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata teknologi AI perlu dimanfaatkan sebagai alat untuk meningkatkan kecekapan, mempercepat penguasaan ilmu dan memacu pertumbuhan ekonomi, bukannya membiarkan teknologi mengawal kehidupan manusia.
"AI bukan menguasai kita, kita yang harus menguasai AI. Maknanya, penggunaannya itu ditentukan oleh kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Prakarsa AI Pendidikan Negara ‘AI Temu AI’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kelewatan menguasai teknologi berkenaan akan menyebabkan Malaysia tercicir dalam perkembangan ilmu dan keupayaan negara bersaing di peringkat antarabangsa memandangkan AI semakin mempengaruhi pelbagai sektor termasuk pendidikan dan ekonomi.
"Bayangkan Malaysia lambat menguasai AI, kita akan ketinggalan. Kerana kecekapan, kecepatan atau kepantasan penguasaan ilmu, termasuk teknologi itu melalui AI," katanya.
Menurut beliau, perkembangan AI yang mengambil alih sebahagian tugas manusia merupakan realiti yang perlu dihadapi dengan persediaan, pendidikan dan penguasaan ilmu dan bukannya ketakutan sehingga menolak kemajuan teknologi.
Beliau menyifatkan perubahan itu mempunyai persamaan dengan revolusi industri terdahulu yang turut mencetuskan kebimbangan terhadap kesan mesin dan teknologi kepada kehidupan serta pekerjaan manusia.
"Tapi, jangan kerana takut cabaran teknologi baharu ini, kita menolak. Dulu bila kita, 70-80 tahun, sebelumnya itu 100 tahun, bila berlaku revolusi industri dengan mesin dan kilang, pandangan sama juga," katanya.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan penguasaan teknologi baharu perlu berjalan seiring dengan penguasaan disiplin ilmu sedia ada serta pembentukan nilai moral dan keperibadian bagi memastikan pembangunan negara tidak hanya tertumpu kepada kemajuan material.
"Nak pacu pertumbuhan supaya kita terus hebat dan gagah sebagai satu negara, kita kena kuasai disiplin, ilmu baharu dan juga yang lama," katanya.
Beliau turut mengingatkan AI boleh dimanfaatkan untuk tujuan kebaikan tetapi berpotensi disalahgunakan sekiranya tidak disertai pendidikan dan kawalan sewajarnya termasuk untuk mengakses kandungan tidak bermoral.
Mengambil contoh perkembangan komputer sebelum ini, Anwar berkata teknologi sentiasa mempunyai dua sisi bergantung kepada cara manusia menggunakannya.
"Jadi maknanya, alat ini boleh kita guna untuk bawa kebaikan dan boleh guna juga untuk ambil bahan lucah dan pornografi. Begitu juga AI," katanya.
Justeru itu, beliau berpandangan pendekatan menyekat sepenuhnya penggunaan teknologi baharu bukan penyelesaian sebaliknya kawalan dan pendidikan perlu diperkukuh dengan bimbingan ibu bapa bagi menggunakan AI secara bertanggungjawab.
"Untuk menghalang, tidak mungkin. Untuk mengawal, itu perlu. Ibu bapa mesti mengawal," katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan murid supaya menghargai pengorbanan guru yang kini turut mempelajari teknologi AI bagi memberikan pendedahan kepada generasi muda meskipun teknologi itu tidak wujud ketika mereka mengikuti pendidikan dahulu.
Kata beliau, kesungguhan guru menguasai bidang baharu demi memastikan murid mendapat manfaat daripada perkembangan teknologi mencerminkan dedikasi dan keikhlasan mereka dalam mendidik anak bangsa.
"Jadi anak-anak harus, bila ke sekolah hormat guru-guru kerana mereka melakukan, bertindak memberi pendidikan, pendedahan dalam satu bidang yang sebenarnya baru juga bagi mereka tetapi kerana dedikasi, keikhlasan dan kesemangat mereka untuk mendidik anak-anak bangsa, mereka sedia berkorban kerana mereka mahu mendidik anak-anak menjadi lebih pintar," katanya.
Beliau berkata kejayaan pelaksanaan AI dalam pendidikan tidak hanya bergantung kepada teknologi, malah memerlukan sokongan menyeluruh Kementerian Pendidikan (KPM), pegawai pendidikan, pengurusan sekolah dan guru.
"AI tidak akan berhasil kalau tidak disertai dan didukung sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan tentunya menteri, pegawai-pegawai dan utamanya guru-guru," katanya.
Anwar menegaskan pendidikan AI perlu membentuk generasi yang bukan sahaja mempunyai keupayaan menguasai teknologi tetapi turut memiliki akhlak, budi pekerti dan nilai kemanusiaan yang tinggi.
"AI pintar, tapi lebih mulia peribadi dan akhlaknya," katanya.




Comments