top of page

Wahai Akmal, apabila gaji minimum naik, B40 terbela - Ker Chean

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
3 hours ago
2 min read
Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean
Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean

Kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, yang mempersoalkan kesukaran pihak majikan menanggung kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan dibidas.


Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean berkata, persoalan mengenai kos yang perlu ditanggung majikan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melambatkan usaha meningkatkan pendapatan pekerja, khususnya golongan berpendapatan rendah.


Menurutnya, rakyat terus berdepan tekanan kos sara hidup ketika pendapatan tidak meningkat seiring dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.


"Gaji minimum bukan jaminan bahawa setiap pekerja akan terus hidup selesa, tetapi ia merupakan lantai perlindungan pendapatan supaya pekerja tidak terus terperangkap dalam pekerjaan bergaji rendah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Ker Chean berkata, kenaikan sebanyak RM300 sebulan itu turut memberi manfaat kepada golongan B40 yang bekerja dan menerima gaji minimum kerana dapat membantu menampung perbelanjaan harian keluarga.


"Bagi pekerja berpendapatan rendah, tambahan RM300 sebulan boleh membantu menampung perbelanjaan dapur, pengangkutan, bil utiliti dan keperluan anak-anak. Dalam keadaan kos sara hidup yang terus menekan, tambahan pendapatan ini bukan perkara kecil," ujarnya.


Beliau tidak menafikan kebajikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu diberikan perhatian, namun kepentingan pekerja berpendapatan rendah tidak boleh diketepikan dalam perbahasan mengenai kenaikan gaji minimum.


Menurutnya, kebimbangan bahawa majikan mungkin memindahkan kos tambahan kepada pengguna perlu ditangani melalui penguatkuasaan terhadap pencatutan, pemantauan harga dan bantuan bersasar kepada perusahaan yang benar-benar terkesan.


Ker Chean turut merujuk Belanjawan 2027 yang memberikan ruang penyesuaian kepada PMKS dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta, sambil menegaskan perincian pelaksanaan dan keberkesanan pengecualian itu perlu dipantau.


"Namun, kita juga perlu bertanya, jika kenaikan gaji pekerja sentiasa dianggap sebagai ancaman kepada harga barang, bilakah pendapatan pekerja akan meningkat secara bermakna?" soalnya.


Beliau menegaskan kenaikan gaji minimum bukan penyelesaian tunggal kepada kos sara hidup dan perlu disokong dasar peningkatan produktiviti, latihan kemahiran, penguatkuasaan persaingan yang adil serta peluang pekerjaan bergaji lebih baik.


Tegas beliau, kerajaan juga perlu menerbitkan data berkala mengenai perubahan harga, pekerjaan dan pendapatan bagi membolehkan kesan dasar itu dinilai secara telus.


"Prinsipnya mudah, kita tidak boleh membina ekonomi yang kukuh dengan mengharapkan pekerja terus menerima upah yang rendah," jelasnya.


Dalam pada itu, Ker Chean turut menyindir Akmal supaya memahami asas ekonomi sebelum mengulas mengenai isu kenaikan gaji minimum.


"Kepada Akmal, kalau kemaruk sangat mahu kembali jadi 'abang besar' dalam kerajaan, fahami dahulu asas-asas Makroekonomi 101," katanya.

1 Comment


Leon Kennedy
33 minutes ago

Los numeros ganadores pueden generar mucha conversación después de un sorteo. Aun así, una explicación responsable debe centrarse en los resultados publicados y evitar presentar coincidencias o interpretaciones personales como predicciones fiables.

Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page