top of page

Kesesakan pintu masuk ke S'pura tertunggak lama, Kerajaan MADANI selesaikan

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • Jun 14
  • 2 min read
DS Saifuddin tetap bersemangat menerangkan jasa Kerajaan MADANI di Johor meskipun dalam hujan lebat
DS Saifuddin tetap bersemangat menerangkan jasa Kerajaan MADANI di Johor meskipun dalam hujan lebat

Kerajaan MADANI berjaya menyelesaikan pelbagai isu yang sekian lama tertangguh, termasuk masalah kesesakan di pintu masuk Johor-Singapura yang telah berlarutan merentasi beberapa pentadbiran sebelum ini.


Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejayaan tersebut membuktikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja mampu merancang dasar yang baik, malah berupaya melaksanakan penyelesaian terhadap masalah yang memberi kesan langsung kepada rakyat.


Menurut beliau, kestabilan politik dan prestasi ekonomi yang baik membolehkan Kerajaan Perpaduan melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan serta projek pembangunan yang sebelum ini sukar direalisasikan.


"Semua ini adalah rancangan menjaga kebajikan rakyat yang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan boleh buat kerana ekonomi kita baik dan politik kita stabil.


"Kalau rekod kita seperti itu di peringkat Persekutuan, maka apabila kita menawarkan diri kepada rakyat Johor, kita yakin perkara yang sama juga boleh dilaksanakan di negeri ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Bukit Batu, malam tadi.


Saifuddin berkata, antara contoh paling ketara ialah usaha kerajaan menyelesaikan isu kesesakan di Tambak Johor yang telah lama menjadi rungutan rakyat, khususnya mereka yang berulang-alik antara Johor dan Singapura setiap hari.


Beliau berkata, Johor dan Singapura berkongsi salah satu laluan sempadan paling sibuk di dunia, namun sistem pengurusan imigresen negara selama ini masih bergantung kepada teknologi lama yang tidak lagi sesuai dengan jumlah pergerakan semasa.


"Cerita tentang Tambak Johor ini sudah berpuluh tahun. Kerajaan bertukar ganti, Perdana Menteri datang dan pergi, tetapi masalahnya tidak selesai.


"Antara puncanya kerana kita mewarisi sistem pengurusan sempadan yang usang dan sudah ketinggalan zaman," kata Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri.


Menurut beliau, atas arahan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri telah melaksanakan proses menaik taraf sistem imigresen negara dengan sokongan peruntukan melebihi RM1 bilion daripada kerajaan.


Katanya, sistem baharu itu kini berada di peringkat akhir pelaksanaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.


Melalui sistem tersebut, pengguna tidak lagi perlu melalui proses cop pasport secara manual, sebaliknya boleh menggunakan teknologi biometrik, pengecaman iris dan pengecaman wajah bagi mempercepatkan urusan keluar masuk negara.


"Hujung tahun ini sistem baharu akan beroperasi sepenuhnya. Kita hanya perlu melintas menggunakan biometrik, iris atau pengecaman wajah.


"Ujian yang sedang dijalankan sekarang menunjukkan proses pelepasan boleh dibuat dalam tempoh empat hingga lima saat sahaja," katanya.


Beliau berkata, pelaksanaan sistem baharu itu bakal mengurangkan kesesakan yang sekian lama membelenggu pengguna di sempadan Johor-Singapura dan memberikan keselesaan lebih baik kepada rakyat serta pelancong.


Saifuddin menegaskan kejayaan menyelesaikan isu berprofil tinggi seperti itu menunjukkan keupayaan Kerajaan MADANI menangani masalah yang diwarisi sejak sekian lama, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.


"Cerita kesesakan yang sudah lama tidak dapat diselesaikan, kini kita berjaya ubah dan selesaikan untuk keselesaan rakyat Johor," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page