Kerusi DUN Puteri Wangsa: Kekuatan di lapangan jadi penentu - AMK Johor
- Helmi Mohd Foad
- 48 minutes ago
- 1 min read

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa tidak seharusnya dianggap sebagai milik mutlak atau kekal buat mana-mana parti politik, demikian kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad.
Beliau menegaskan soal pembahagian kerusi perlu diputuskan secara rasional dengan mengambil kira kekuatan jentera parti, gerak kerja di lapangan serta kemampuan untuk memenangi hati pengundi.
"Kerusi DUN Puteri Wangsa tidak seharusnya dilihat sebagai milik mutlak kekal mana-mana parti. Kita harus berhenti bernostalgia dan tumpu kepada realiti sebenar di lapangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini AMANAH Johor menyatakan hasrat untuk mengambil semula kerusi DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini dipinjamkan kepada MUDA.
Faezuddin berkata, pengundi masa kini semakin matang dan mampu menilai perbezaan antara pihak yang benar-benar konsisten berkhidmat dengan mereka yang hanya muncul apabila pilihanraya semakin hampir.

Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan mengambil kira faktor tersebut boleh menyebabkan penolakan terhadap calon atau parti yang dilihat sebagai “payung terjun” serta tidak mempunyai akar umbi di kawasan berkenaan.
Laporan media sebelum ini memetik Naib Pengerusi AMANAH Johor, Dr Zuhan Zain berkata, pihaknya akan menuntut semula kerusi berkenaan sambil menegaskan tiada rundingan politik sedang atau akan diadakan antara AMANAH Johor dengan MUDA.
Menurut beliau, tuntutan itu dibuat susulan tindakan MUDA menarik sokongan terhadapKerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022, kerusi DUN Puteri Wangsa dimenangi oleh Amira Aisya Abdul Aziz daripada MUDA dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru.
MUDA ketika itu menang kerusi tersebut atas sokongan Pakatan Harapan meskipun tidak menyertai gabungan politik berkenaan secara langsung, cuma mengadakan pakatan pilihanraya menjelang PRN Johor.
Parti itu kemudian menarik sokongannya kepada Kerajaan Perpaduan pada 2023.
